Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dewan: Kementerian Sokong Cadangan Wujudkan ‘Youth Avenue’ Di Sabah

bundle

KOTA KINABALU : Kementerian Belia dan Sukan Sabah menyambut baik dan menyokong penuh cadangan untuk mewujudkan ‘Youth Avenue’ di bandar raya ini termasuk bandar dan pekan utama di Sabah, bagi menggalakkan penyertaan belia dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, kata menterinya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata cadangan untuk mewujudkan ‘Youth Avenue’ adalah bertepatan dan perlu diterokai Pihak Berkuasa Tempatan demi menggalakkan budaya keusahawanan, menyerlahkan bakat daya kreativiti dan inovasi di kalangan generasi muda.

“Kementerian menyokong penuh cadangan pengwujudan ‘Youth Avenue’ dan keputusan lokasi yang sesuai adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

“Selaras dengan domain potensi diri dan kesejahteraan ekonomi, saya memohon supaya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mempertimbangkan kemungkinan menyediakan sudut menyerlahkan potensi, memanfaatkan bakat serta ruang bisnes kepada generasi belia untuk jana pendapatan, sekali gus meningkatkan indikator keusahawanan,” katanya ketika menggulung perbahasan berkaitan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini Rabu.

Sebelum ini Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Datuk Mohamad Alamin mencadangkan supaya kerajaan Negeri mewujudkan ‘Youth Avenue’ semasa membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan itu.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussin dalam ucapan penggulungan kementeriannya turut bersetuju dan menyokong penuh pelaksanaan inisiatif ‘Youth Avenue’ di satu kawasan yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata kementeriannya boleh menempatkan beberapa peserta daripada sistem maklumat kemiskinan negara (e-Kasih) yang telah berjaya dalam Program 1Azam di kawasan ‘Youth Avenue’ itu kelak.

“Banyak produk yang boleh diketengahkan termasuk makanan, jahitan, kecantikan dan sebagainya di kawasan itu (‘Youth Avenue’),” tambah beliau.

Pada masa sama, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Siringan Gubat turut menyokong cadangan pengwujudan ‘Ýouth Avenue’ sebagai tempat mempamerkan dan memasarkan hasil usaha para belia di negeri ini.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan