Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dewan: 29,970 Keluarga Miskin Tegar Terima Bantuan MyBeras Di Sabah

6:57pm 18/04/2016 Pak Roshan 109 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

MyBeras

KOTA KINABALU : Sebanyak 29,970 keluarga miskin tegar di Sabah akan diberi bantuan menerusi program MyBeras yang dilaksanakan mulai Mei 2016 hingga Februari 2017, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau berkata program itu, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam penstrukturan semula Bajet 2016, bertujuan membantu keluarga miskin tegar yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup selepas pemansuhan subsidi beras ST15 yang mudah diselewengkan.

“Penerima bantuan itu boleh menuntut bantuan beras itu di pusat-pusat penyerahan di setiap daerah yang menyelaras program MyBeras,” katanya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan Jeremy Malajad (Bebas-Kadamaian) dan Christina Liew (PKR-APi-Api) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, Isnin.

Di bawah program itu, Pertubuhan Peladang Kawasan bertanggungjawab menghantar beras di pusat-pusat penyerahan di setiap daerah tetapi bagi keluarga miskin tegar di kampung-kampung terpencil, mereka akan diberikan RM50 sebulan sebagai ganti memandangkan penghantaran beras ke kawasan mereka tidak kos efektif.

Program MyBeras membolehkan setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar dengan e-Kasih menerima 20 kilogram beras setiap bulan.

Program berkenaan sepatutnya dilaksanakan mulai Mac hingga Disember 2016 tetapi ditangguhkan kepada Mei 2016 hingga Februari 2017 bagi memastikan tiada mana-mana kumpulan masyarakat tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban menjelaskan keputusan kerajaan negeri Sabah membekukan sementara aktiviti perdagangan barter di seluruh negeri ini bagi memudahkan pihak keselamatan menangani ancaman terhadap kedaulatan Malaysia dan Sabah khususnya.

Permohonan mendapatkan kebenaran menjalankan perdagangan barter di Sabah amat ketat dan perlu melalui tapisan jawatankuasa yang diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, katanya semasa menjawab soalan Datuk Samsuddin Yahya (BN-Sekong).

Selain itu, katanya setiap kapal pengangkut pedagang barter diwajibkan memasang peralatan ‘Automatic Identification System (A.I.S) Transponder’ untuk tujuan pengesanan.

Bagi tempoh 2015 hingga 2016, hanya dua syarikat perdagangan barter beroperasi di Sandakan dan masing-masing satu syarikat di Kudat dan Tawau, dan bagi tempoh 2016 hingga 2017, hanya empat syarikat dibenarkan beroperasi di Sandakan dan tiga di Kudat, katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan