Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Detik cemas nelayan bila bot hampir karam

hampirkaram

KUDAT: Seorang juragan dan 12 awak-awak berjaya mengharungi detik getir selepas bot pukat dinaiki mereka hampir karam sebelum diselamatkan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, di perairan Pulau Banggi, dekat sini kelmarin.

 

Insiden yang terjadi kira-kira jam 10 pagi berkenaan, kesemua mangsa yang berusia 15 hingga 40 tahun itu dikatakan baru sahaja selesai menjalankan aktiviti memukat ikan di perairan Pulau Malawi.

 

Bagaimanapun tidak semena-mena, dinding bot pukat terbabit bocor dipercayai akibat reput sehingga mengakibatkan ia hampir tenggelam di bahagian depan sebelum ditemui oleh APMM.

 

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kudat Leftenan Komander Mohd Hafidz Mohd Tajuddin berkata, mujur ketika itu APMM Kudat sedang menjalankan operasi penguatkuasaan Preventive SAR di sekitar lokasi itu sebelum bergegas menyelamatkan kesemua awak-awak dan juragan berkenaan.

 

“Bot pukat jerut sepanjang 25 meter yang dinaiki juragan serta 12 awak-awak warga tempatan itu dipercayai sarat dengan muatan ikan dan ketika ditemui, ia kelihatan tidak stabil serta agak tenggelam.

 

“Menyedari kejadian itu, sepasukan anggota peronda APMM kemudiannya bertindak membantu dan menyelamatkan kesemua mangsa daripada insiden tidak diingini,” katanya di sini kelmarin.

 

Menurut Mohd Hafidz, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kerosakan bot itu adalah berpunca daripada dinding hadapan yang reput dan rapuh dipercayai dipukul ombak sehingga mengakibatkan kebocoran.

 

“Air laut telah melimpah masuk sedalam satu meter dan ia menyebabkan bot terbabit hampir karam.

 

“Kita terpaksa menggunakan dua pam untuk mengeluarkan air laut sementara kebocoran berkenaan berjaya diperbaiki buat sementara waktu,” katanya sambil menambah, bot pukat itu kemudiannya telah selamat berlabuh di Pelabuhan Kudat sejurus kemudian.

Komen


Berita Berkaitan