Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Desas desus anak Anwar sebagai calon bukan mengejutkan

Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyampaikan ang pau kepada peniaga dalam program 'walkabout' di sekitar Pekan Papar sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi. - foto Aryan De Vera
Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyampaikan ang pau kepada peniaga dalam program ‘walkabout’ di sekitar Pekan Papar sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi. – foto Aryan De Vera

PAPAR – Bukan satu perkara yang mengejutkan sekiranya anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Nurul Nuha akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Menyatakan perkara itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, beliau tidak berasa pelik sekiranya khabar angin tersebut itu benar dan ia jelas membuktikan bahawa PKR tidak mengamalkan prinsip demokrasi sebagaimana dilaungkan parti itu sebelum ini.

Menurut beliau, pemilihan anak kedua Anwar itu mengukuhkan lagi bahawa amalan nepotisme menjadi dasar perjuangan PKR sejak dari dulu bagi meneruskan legasi keluarga itu di kawasan Parlimen berkenaan.

“Sekiranya benar (pencalonan Nurul Nuha di kerusi Permatang Pauh), ia tidak menghairankan saya kerana perkara ini sering berlaku sekiranya bukan beliau (Anwar), isteri atau anaknya yang diheret ke kancah permainan politik bagi meraih simpati.

“Malah sebelum ini, pembangkang mendakwa Barisan Nasional (BN) nepotisme, namun meletakkan ahli keluarga bertanding di kerusi Permatang Pauh ini juga sebenarnya memperlihatkan PKR sendiri tidak mengamalkan demokrasi.

“PKR adalah parti keluarga (Anwar), selama-lamanya milik keluarga dan hanya satu saja keutamaan dalam misi parti ini iaitu perjuangan untuk Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui di Program ‘Walkabout’ di sekitar Pekan Papar sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendapat beberapa pemerhati politik yang mengatakan anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31, bakal diketengahkan sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008 dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Keputusan itu sekaligus melucutkan kelayakan Anwar sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 2008 berdasarkan Perkara 48(1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000. – oleh Aryan De Vera / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan