Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Delegasi CSPOC Kagum Dengan Budaya Etnik Sabah

7:38pm 10/01/2016 Pak Roshan 56 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Delegasi ke Persidangan Ke-23 Persidangan Speaker dan Yang Dipertua Dewan Negara-negara Komanwel (CSPOC) hari ini kagum dengan pelbagai budaya etnik dan tradisi Sabah yang dipersembahkan kepada mereka semasa melawat Kampung Budaya Mari-Mari.

Semasa lawatan prapersidangan ke kampung budaya terletak kira-kira 15 km dari sini, para delegasi antara lain berpeluang menyaksikan pelbagai tarian tradisional etnik Sabah seperti tarian “magunatip” suku kaum Murut dan tarian etnik Lundayeh.

Sesetengah anggota delegasi juga turut bersama menari apabila diajak serta menguji bakat mereka dalam penggunaan peralatan memburu tradisional yang dahulu digunakan oleh etnik Sabah seperti sumpit.

Sebahagian delegasi juga meluangkan masa dengan melawat rumah tradisional suku kaum Bajau, Murut, Rungus, Dusun dan Lundayeh yang dibina di kampung budaya itu.

Delegasi juga dihidangkan dengan makanan tradisional seperti “bambangan” dan juga pelbagai ulam.

“Ini lawatan kali pertama saya ke Sabah, Malaysia. Ia sungguh indah. Penduduknya amat peramah. Makanan di sini enak sekali,” kata Dr Kendal Major, Speaker Parlimen Bahamas.

Kendal berkata terdapat beberapa persamaan antara Sabah dan Bahamas dalam konteks industri pelancongan kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negaranya juga bergantung kepada industri pelancongan seperti Sabah.

“Makanan di sini berlainan sedikit…tetapi saya menggemarinya,” kata beliau.

Mengenai persembahan tradisional, Kendal berkata ada persembahan yang lebih kurang sama dengan persembahan kebudayaan kaum asli dikenali sebagai “Junkamoo” di Bahamas dari segi irama muzik, gerak-geri tarian dan peralatan muzik yang digunakan.

Beliau berkata negaranya terdiri daripada banyak pulau dan sebahagian besar daripada orang asli di sana menggunakan alat muzik yang diperbuat daripada pelbagai bahan seperti logam dan keluli.

Kendal berkata beliau menghargai penduduk orang asli dan pentingnya suku kaum asli menjadi sebahagian daripada pembangunan negara.

“Saya mahu melihat (tradisi) itu kerana inilah kehidupan sebenar dalam Malaysia. Saya mahu melihat bagaimana penduduk hidup dan bagaimana mereka bersosial,” kata Kendal.

Catherine Hoyle, isteri Timbalan Speaker Parlimen United Kingdom, Lindsay Hoyle, pula berkata persembahan tradisional itu amat mengagumkan.

“Semua orang nampaknya berbangga menyaksikan persembahan tradisional. Ini merupakan lawatan pertama saya ke Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk datang ke Malaysia kerana beliau amat mengenali negara ini.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan