Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

DBKK larang aktiviti pendaratan, jual ikan

Abidin Madingkir.
Abidin Madingkir.

KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak membenarkan aktiviti pendaratan ikan dan penjualan ikan di kawasan Taman Awam Teluk Likas kerana ia bercanggah dengan zon guna tanah sedia ada, iaitu untuk tujuan kawasan lapang dan rekreasi.

Selain itu, aktiviti berkenaan juga boleh menimbulkan isu kebersihan dan keselamatan di kawasan berkenaan yang diwujudkan bagi keselesaan pengunjung.

Menurut Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir, kawasan taman tersebut adalah untuk kegunaan rekreasi dan semakin popular dikunjungi bukan sahaja oleh penduduk tempatan malah juga pelancong dari dalam dan luar negeri.

”Ia juga terkenal dengan pemandangan matahari terbenam di waktu petang. Kita bimbang sekiranya aktiviti pendaratan dan penjualan ikan dibenarkan di kawasan taman, ia akan mengotorkan kawasan tersebut dan menimbulkan bau busuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen pengguna Facebook baru-baru ini berhubung kegiatan penjualan ikan dan aktiviti pendaratan ikan oleh nelayan di Taman Awam Teluk Likas, yang mencadangkan agar tempat tersebut dinaiktaraf oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) agar lebih nampak menarik dan tersusun.

Abidin berkata, kegiatan berkenaan juga menimbulkan isu keselamatan kepada pengguna jalan raya kerana para pembeli biasanya akan meletakkan kenderaan di tepi jalan raya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membeli ikan daripada nelayan yang mendarat di taman tersebut agar tidak menggalakkan aktiviti tersebut.

Beliau berkata kawasan taman ini juga bersebelahan dengan laluan protokol dan berhampiran dengan kompleks pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan dan aktiviti berkenaan tidak sesuai untuk imej taman, tambahan pula, DBK kini sedang dalam perancangan fasa kedua pembinaan Taman Awam Teluk Likas tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu aktiviti memancing dibenarkan di kawasan tertentu yang dikenalpasti di taman berkenaan.

Tambah beliau, DBKK akan berusaha bersama jabatan berkenaan untuk mendapatkan kawasan alternatif bagi penjualan ikan terutama sekali untuk golongan nelayan tradisi yang tinggal di sekitar kawasan perkampungan di Bandaraya Kota Kinabalu. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan