Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,423

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

DBKK diminta hentikan penilaian harta di kawasan operasinya

11:50am 26/03/2017 Elezebeth Esther Onjining 188 views Kota Kinabalu,Tempatan

RASMI… Erward (lima dari kiri) bersama Yeo (empat dari kiri) dan dif-dif jemputan melakukan upacara simbolik menyalakan lilin logo ’60+’ sempena Program Earth Hour 2017, dekat sini, semalam.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diseru agar menghentikan penilaian untuk semua harta termasuklah bangunan di sekitar kawasan operasinya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Edward Yong Oui Fah berkata penilaian tersebut mendapat banyak aduan daripada masyarakat setempat dan ia juga menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk setempat khususnya pemilik bangunan atau perumahan.

“Setelah meneliti semua aduan tersebut, YAB Ketua Menteri Sabah telah memberi arahan kepada saya agar memaklumkan pihak DBKK agar menghentikan penilaian tersebut

“Kita perlu berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana beliau prihatin terhadap hal ehwal masyarakat setempat di bandaraya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Earth Hour 2017 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu, dekat sini, semalam.

Jelasnya, bukan semua pemilik bangunan dan perumahan di daerah itu merupakan pembeli yang pertama.

“Apabila kita membeli sesebuah bangunan atau rumah itu, kita akan mendapatkan pelan bangunan sekali.. bagaimana kita hendak meminta pemilik bangunan yang bukan merupakan pembeli pertama bangunan/perumahan itu untuk menyediakan pelan bangunan itu,” katanya.

Disamping itu, beliau berkata bahawa penilaian tersebut memberi tanggapan yang tidak benar bahawa kadar cukai pintu akan meningkat sekiranya penilaian itu diteruskan.

“Sebelum ini, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah memaklumkan bahawa kadar cukai pintu tidak akan dinaikkan.

“Penilaian itu sebenarnya bertujuan untuk mengetahui nilai sesebuah bangunan di daerah ini,” katanya.

Berkenaan program Earth Hour 2017, Edward menyeru kepada orang ramai agar bersama- sama menjaga alam sekitar dengan sebaik- baiknya.

“Kita memerlukan pembangunan yang seimbang dan mampan iaitu bandaraya kita bukan sahaja membangun dari segi infrastruktur tetapi juga pada masa sama masyarakat menjadi semakin peka dengan kepentingan alam sekitar,” katanya.

Hadir sama, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Ketua Pemuliharaan Sabah, Pejabat Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Sabah, Dr. John Tay, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Sabah Electricity Sdn Bhd, Chendramata Sinteh dan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra. Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda