Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

DATUK MAHADZIR LOKMAN MENINGGAL DUNIA

Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Selebriti negara, Datuk Mahadzir Lokman, 61 meninggal dunia di dalam bilik sebuah hotel terkemuka di sini awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji, siasatan awal mendapati tidak terdapat unsur jenayah di tempat kejadian dan oleh itu kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Kenalan rapat Allahyarham memberitahu, kali terakhir berjumpa dengan mangsa semalam pada pukul 11.40 apabila selesai makan malam dan masing-masing pulang ke bilik.

“Tambahnya lagi, Allahyarham ada menghantar pesanan ucapan selamat pagi kepada mereka melalui aplikasi Whatsapp kira-kira pukul 5 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, pada 9.30 pagi ini kenalan Allahyarham cuba memanggil beliau tetapi tiada jawapan sebelum memanggil jurutera hotel tersebut untuk membuka pintu bilik dan mendapati Mahadzir tidak sedarkan diri.

Katanya, Mahadzir disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Queen Elizabeth.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth selepas menziarah jenazah Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman yang meninggal dunia di sebuah hotel, di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri menziarahi jenazah di hospital sejurus mendapat khabar itu.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib dilihat berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth selepas menziarah jenazah Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman yang meninggal dunia di sebuah hotel, di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

Sementara itu, pihak pengurusan Shangri-La’s Tanjung Aru Resort & Spa dalam satu kenyataan berkata lebih kurang jam 10 pagi tadi perkhidmatan kecemasan telah dipanggil untuk membantu seorang tetamu hotel namun malangnya usaha untuk menyedarkan tetamu tersebut tidak berjaya.

Pihak pengurusan dan seluruh staf hotel mengucapkan takziah dan bersimpati dengan keluarga tetamu itu sambil menyatakan akan memberi bantuan sejauh mana boleh kepada mereka serta bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Mahadzir memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris pertama stesen televisyen itu.

Beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi perantara pertama rancangan Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi terbitan TV3.

Kebolehan Mahadzir bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menyaksikan dirinya sering diundang menjadi pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Mahadzir dianugerahkan Ordre Les Palmes Academiques oleh kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosi bahasa dan budaya Perancis.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan