Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Datuk Jalaluddin Pesuruhjaya Polis Sabah Yang Baharu

jalaluddin

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu menggantikan Datuk Hamza Taib yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara Hamza dan Jalaluddin berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rashid.

Jalaluddin dalam ucapannya menganggap tugas baharunya itu sebagai amat berat namun berazam untuk melaksanakan peranan, tugas dan kepercayaan kerajaan dan rakyat kepada beliau dengan sebaik-baiknya.

“Sebagai seorang ketua yang menjalankan tugas-tugas sebagai ketua polis negeri, bermakna saya perlu menjadi seorang ketua yang terbaik dalam mentadbir dan menguruskan perjalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan harapan untuk menjadikan PDRM ini sentiasa dipandang tinggi dan dihormati oleh seluruh masyarakat di negara ini,” katanya.

Jalaluddin juga berikrar untuk melaksanakan tugas dengan jujur, bersungguh-sungguh dan berharap semua warga PDRM Sabah akan memberinya kerjasama dan komitmen padu bagi membolehkan segala agenda, perancangan serta dasar yang telah diatur dapat dilaksana dengan sebaik-baiknya.

“Bagi saya, tidak ada kerja atau tugas rutin dalam diari saya. Semua tugas adalah penting dan semua tanggungjawab itu mesti diberi keutamaan. Itulah amalan saya selama ini dan berharap agar Allah memberikan saya kudrat dan hidayah untuk terus berkeupayaan tinggi menjadi ketua yang baik kepada warga PDRM Kontinjen Sabah,” katanya.

Jalaluddin pernah bertugas di Sabah sebagai pegawai polis marin dari 1978 hingga 1990.

Sementara itu, ketika bertemu pemberita kemudian, Hamza berkata sepanjang pengalamannya sebagai pegawai polis selama 39 tahun, menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah selama tiga tahun lapan bulan merupakan tugas yang paling mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai peristiwa sepanjang tempoh berkenaan.

“Perkara yang tidak akan saya lupakan ialah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, saya telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya. Pencerobohan (pengganas) di Lahad Datu dan proses pilihan raya umum Ke-13 telah berjaya kita tangani dengan baik,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan