Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dasar 90:10 guru tempatan di Sabah meningkat

6:58pm 04/09/2016 Pak Roshan 163 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU: Dasar 90 peratus guru tempatan dan 10 peratus guru luar mengajar di Sabah (Dasar 90:10) yang diputuskan pada tahun lalu disasar mencapai peningkatan antara 2.5 peratus hingga tiga peratus menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sasaran itu akan meningkatkan jumlah guru tempatan berasal dari Sabah di sekolah rendah kepada 83 peratus manakala 75.5 peratus di sekolah menengah.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan itu, pihaknya yakin sasaran 90 peratus guru tempatan di sekolah rendah mampu dicapai pada 2018, manakala tambahan dua atau tiga tahun bagi sekolah menengah.

“Kadar guru tempatan di sekolah rendah pada tahun lalu ialah 80 peratus tetapi setakat bulan ini jumlah itu meningkat 2.4 peratus kepada 82.4 peratus, manakala di sekolah menengah sudah mencapai 74.5 peratus berbanding 73 peratus tahun lalu.

“Kita akan cari kaedah untuk mencapai sasaran itu kerana bukan mudah mengurus perkara ini termasuk ada guru yang minta pindah di bandar. Namun kita berharap mereka mahu ditempatkan di mana saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Penampang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Penampang, Datuk John Ambrose; Naib Ketua UMNO Penampang, Adrian Sikawah dan Pengerusi BN Penampang, Datuk Donald Mojuntin.

Pada 16 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika kunjungan ke Sabah sempena Hari Malaysia, berkata Jabatan Pendidikan Sabah dan Sarawak diberi mandat menambah jumlah guru anak tempatan di negeri masing-masing kepada 90 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Mahdzir berkata, Najib dijangka mengumumkan peruntukan untuk pembinaan semula sekolah daif di Sabah dalam pembentangan Bajet 2017, bulan depan.

“Di Sabah, ada 380 sekolah dikategorikan daif yang patut dibuat semula. Mulai tahun ini sebanyak 45 sekolah dipilih untuk projek itu dan peruntukannya akan diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2017.

“Pemilihan sekolah merangkumi kawasan pedalaman dan pulau. Ia membabitkan pembinaan bangunan baharu sekurang-kurangnya enam atau lapan bilik darjah,” katanya.

Beliau berkata, kaedah pembinaan sekolah terbabit akan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana lebih mudah dan cepat. – BH Online

Info

Sasaran Dasar 90:10 guru di Sabah

* 83 peratus guru tempatan Sabah di sekolah rendah pada tahun ini

*75.5 peratus guru tempatan Sabah di sekolah menengah pada tahun ini

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan