Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Daripada Penjawat Awam kepada Usahawan Berjaya

2:05pm 20/12/2015 Elezebeth Esther Onjining 249 views Rencana,Tempatan
Datuk Rozman (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Persatuan Alumni UKM (Sabah & Sarawak)

Datuk Rozman (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Persatuan Alumni UKM (Sabah & Sarawak)

Sudah lama inisiatif digerakkan untuk menubuhkan persatuan bagi menyatukan anak Sabah dan Labuan yang bergraduat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walaupun ada ribuan alumni dari dua wilayah itu semenjak 1970, rupa-rupanya tidaklah mudah untuk menubuhkan sebuah organisasi berasaskan semangat sukarela tetapi dapat menjadi payung yang menyatukan.
Walau bagaimanapun, hasil usaha Datuk Almain Ajirul, Pengarah Penerangan Sabah dan rakan-rakan, Persatuan Alumni UKM (Sabah & WP Labuan) berjaya ditubuh dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Persatuan tersebut dilancarkan penubuhannya di Kota Kinabalu pada 29 November 2015 oleh YB Datuk Rozman Isli, Ahli Parlimen Labuan, juga alumni UKM.  Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Pelajar & Alumni), Prof. Datin Noor Aziah Mohd Awal dan 150 ahli.
Dalam ucapannya, Almain yang bergraduat pada 1984 mengimbau kenangan para alumni kepada kehidupan kampus yang membentuk keakraban persahabatan. Sate Kajang, bas Foh Hup, bas Sum dan Restoran Pak Din di pinggir lebuhraya adalah antara kenangan sepunya yang mendewasa dan mengeratkan  pelajar-pelajar UKM sehingga 1990 termasuk pelajar dari Sabah dan Labuan.   Keakraban itu mendorong mereka menubuhkan Persatuan Mahasiswa/Mahasiswi Sabah (PERMIS) wadah untuk menjalankan pelbagai aktiviti khususnya membangunkan masyarakat terutama semasa cuti semester.
Bersama dalam era kemahasiswaan 1980an, saya masih mengingati pertandingan bola sepak merebut Piala PERMIS adalah aktivitiberprestij dan meriah pada setiap tahun serta dinanti-nantikan. Pertandingan biasanya adalah antara pasukan persatuan anak negeri yangwujud dalam universiti. Dari satu perspektif, persatuan anak negeri dianggap membawa kesan agak negatif, namun bagi saya yangmenempuh era tersebut berpendapat lebih banyak nilai positif berbanding impak negatifnya.
Saya berkesempatan bersama-sama dalam majlis tersebut. Sebahagian daripada peserta yang hadir saya kenali dan sebahagian lagi tidakdapat diingati. Boleh dikatakan sudah 30 tahun kami terpisah semenjak hari konvokesyen.
Berpisah pada usia 23 atau 24 tahun dan bertemu semula sewaktu masing-masing sudah melewati umur separuh abad. Apabila bertemu, tentulah kami memerlukan beberapa detik untuk mengingati dan mengenali semula. Segalanya sudah berubah. Bagi kebanyakan rakan lelaki, walaupun rambut sudah memutih atau menipis, namun kelihatan lebih makmur dengan tubuh semakin merendang. Demikian juga dengan yang wanita, lebih sukar dikenali kerana penampilan yang sudah jauh berbeza.
Salah satu kegembiraan bertemu sahabat-sahabat lama ialah mengetahui perkembangan kerjaya dan kehidupan umum mereka. Selain bercerita tentang anak, cucu, kesihatan dan keluarga, pastinya kerjaya turut menjadi topik utama. Amat membanggakan mengetahui para alumni itu kini sudah berada pada kedudukan tinggi dan strategik dalam profesion mereka. Antaranya menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysiadi luar negara, mengetuai jabatan peringkat negeri dan persekutuan, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pensyarah universiti,pengetua sekolah, pengurus kanan syarikat dan pemilik perniagaan sendiri.  Bagi saya, maklumat ini penting dan perlu untuk universitimengesan para alumninya.
Rata-rata selepas menamatkan pengajian, mereka bekerja dalam sektor kerajaan. Sepertimana Teori Hirarki Keperluan Manusia Marslow, perubahan berlaku dalam aspirasi manusia sesuai peningkatan usia, pengalaman dan pandang dunia (world view) masing-masing. Melihat kepada perkembangan negeri Sabah khususnya kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi yang begitu pesat semenjak awal 1990an, ramai yang mengambil keputusan berhenti daripada perkhidmatan sektor kerajaan dan swasta sebaliknya menceburi bidang perniagaan yang sedang berkembang.
Daripada usahawan restoran, saya menemui rakan-rakan yang menceburi bidang pembalakan, pengeluaran berasaskan kayu, penjualan kereta mewah, industri berat, membuka kolej swasta, produk makanan halal, industri minyak dan gas, kontraktor jalanraya dan bangunan, perkapalan, penternakan, perikanan dan perladangan, antara bidang perniagaan diceburi alumni UKM di Sabah dan WP Labuan.
Mencerap penampilan dan pola bicara mereka, ternyata saya sedang berhadapan dengan usahawan yang sudah berjaya. Bahkan sebahagiannya dikatakan bertaraf jutawan. Namun di sebalik gambaran zahir itu, terhimpun begitu banyak cerita dan pengalaman, jatuh dan bangun serta ketawa dan keluhan yang hanya mereka lebih mengerti. Menerusi semua jerih payah itulah mereka bangkit kembali menapak ke aras lebih tinggi menjadi usahawan yang tersanjung.
Di saat semua universiti termasuk UKM sedang secara intensif menyediakan pelbagai pakej membimbing pelajar untuk dilahirkan sebagaiusahawan selepas bergraduat nanti, alumni Sabah dan Labuan telah membuktikan jiwa mereka lebih merdeka membina kerjaya sendiri sebagai usahawan berjaya. Seperti diharapkan Prof Noor Aziah dalam ucapannya supaya para alumni kembali menyumbang kepada almamater, saya percaya alumni UKM yang dibanggakan ini sentiasa sedia berkongsi pengalaman pahit getir mereka untuk membolehkansiswazah UKM muncul mencipta kejayaan keusahawanan sehebat mereka.
Penulis merupakan Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Canselori UKM, Prof Abd Razak Hussin. –SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan