Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,769

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dari Tanjung Aru ke Stesen Terakhir 

2:08pm 22/12/2015 Elezebeth Esther Onjining 472 views Rencana,Tempatan

photo 2

Semasa bertugas di UKM Kampus Sabah (UKMS) pada penghujung 1986 hingga 1992, hasrat penulis yang tidak kesampaian ialah menaiki kereta api Sabah dari Tanjung Aru ke Tenom. Justeru, sempena kunjungan ke Kota Kinabalu beberapa bulan lalu, penulis bertekad memastikan hasrat 24 tahun lalu dipenuhi. Maka pada 15 Mac, penulis dan Matusup Rasid, pegawai Universiti Malaysia Sabah yang juga bekas staf di UKMS dahulu melakukan perjalanan dari Stesen Tanjung Aru ke stesen terakhir.

Agak hampa, kerana kereta api yang dibayangkan 25 tahun lalu tidak kelihatan lagi. Sebaliknya menggunakan koc-koc baharu. Penulis harus memujuk diri dengan menyetujui yang terpenting adalah melakukan perjalanan itu  menggunakan kereta api. Terima kasih kepada pengasasnya jurutera British Arthur J. West dan pembantunya Gaunon daripada suku kaum Murut yang memungkinkan wujudnya perkhidmatan kereta api di Borneo pada 1896. Pastilah pembinaan perkhidmatan kereta api itu bermotifkan ekonomi, salah satu objektif penjajahan bagi mengaut keuntungan daripada tanah jajahan.

Perkara pertama yang menarik perhatian mengenai kereta api Sabah ialah ketepatan waktunya. Seperti dipaparkan pada jadual perjalanan, tepat pada 7.45 pagi kereta api mula bergerak meninggalkan Tanjung Aru. Disepanjang perjalanan penulis dapat melihat kesan pembangunan fizikal pesat  khususnya selepas 1995. Pekan-pekan kecil 20 tahun lalu kini berkembang. Putatan, Kinarut, Papar dan Beaufort semakin sibuk.

Selain keindahan Laut Cina Selatan di sebelah kanan, sawah padi, ladang getah serta dusun di sebelah kiri, sangat ketara adalah semakin berkurangnya sawah padi. Pertumbuhan taman perniagaan dan perumahan pula yang jelas kelihatan. Barangkali inilah petunjuk kepada pembangunan.

Apabila sampai di Kawang, penulis mengingatkan Matusup bahawa kampus UKMS yang pertama terletak di Kebun Kawang pada 1973. Nama itu ditukar oleh Tun Datu Mustapha, Ketua Menteri waktu itu kepada Limauan kerana rindu beliau  terhadap kampung halamannya  Limau-limauan di Kudat.

Penulis dan Matusup turut mengimbau kenangan sewaktu sama-sama bertugas di UKMS. Memperkatakan keakraban sesama warga, keterlibatan dengan komuniti, sehinggalah UKMS dipindahkan kampusnya ke Menggatal dari kampus sebelumnya di Bukit Padang.

Pada waktu itu, tidak timbul rasa segan menyebutkan UKMS terletak di Menggatal kerana kami tahu epistimologinya. Sebaliknya selepas itu, apabila kampus diambilalih sebuah institusi setelah UKMS ditutup pada 1996, Menggatal seolah-olah dilenyapkan, dengan lebih menonjolkan  “Jalan Tuaran”. Penulis berpendapat, “Menggatal” sewajarnya terus digunakan kerana ia sejarah lokal berasal daripada buah mangga yang menimbulkan kegatalan apabila dimakan. Memanglah perspektif orang Semenanjung berbeza, namun kita harus mendidik rakyat Malaysia supaya menghormati kepelbagaian adat, budaya, nilai dan jati diri komuniti asal, bukan memadamkan sejarah yang menjadi kebanggaan mereka yang mungkin telah berusia ratusan tahun.

Tepat 9.45 pagi, kereta api tiba di Beaufort dan dimaklumkan perjalanan seterusnya pada jam 1 tengahari. Di Beaufort kenangan tidak dapat dilupakan ialah merasai kelazatan sate daging kerbau buat pertama kalinya. Ternyata, penulis menggemarinya.

Tepat jam 1.00 tengahari, kereta api bergerak ke Halogilat. Penulis berasa gembira kerana gerabak yang digunakan adalah seperti yang dilihat lebih 20 tahun lalu. Walaupun tidak dilengkapi hawa dingin, pemandangan indah Sungai Padas, bukit bukau menghijau dan penduduk kampung yang melambai-lambai memadam segala ketidakselesaan.

Menerusi Ginem Omar, penumpang berusia 70 tahun, banyak perkara menarik yang didengar termasuk beliau menceritakan sehingga 1970an, biasa baginya menaiki kereta api yang tidak berbumbung menempuh panas terik dan hujan.

Sampai di Halogilat, penumpang yang ingin ke Tenom, harus menukar gerabak. Kali ini, kami harus tabah kerana gerabak yang digunakan ialah gerabak kargo dan orang tempatan memanggilnya “gerabak oven”. Ternyata, keadaan dalam gerabak begitu panas disebabkan penumpang yang ramai dan cuaca panas terik.

Kami sampai di stesen terakhir pada jam 3.45 petang. Apa yang penulis bayangkan meleset sama sekali kerana Tenom juga adalah sebuah bandar besar dan membangun khususnya dalam bidang pertanian. Bandar ditelusuri dan menikmati kelazatan kopi Tenom. Keesokan paginya, kami menikmati nasi lemak yang enak sebagai sarapan di gerai seorang berketurunan Jawa. Di Tenom, ramai orang Jawa berhijrah ke kawasan pedalaman semasa Perang Dunia Kedua bekerja dalam sektor pertanian.

Pulang ke Kota Kinabalu, penulis masih menggunakan kereta api. Duduk di sebelah penulis adalah seorang staf Sekolah Kebangsaan Pangi, Rosliza bersama anak kecilnya. Setiap hari beliau menggunakan kereta api ke tempat kerja. Beliau membayangkan kerajaan seharusnya meningkatkan perkhidmatan kereta api untuk kepentingan penduduk di pedalaman.

Menurutnya lagi, sekiranya berlaku kerosakan pada landasan atau ditenggelami banjir, amat sukar bagi penduduk melakukan perjalanan. Jadi, beliau mengharapkan, pihak berkuasa harus melakukan penambahbaikan dalam infrastruktur yang sangat penting kepada masyarakat.

Tepat jam 1.00 tengahari, penulis sampai di Tanjung Aru dan merumuskan bahawa perjalanan dari Tanjung Aru ke stesen terakhir adalah berbaloi dan mengesankan. Selain menikmati pemandangan indah, turut menginsafkan penulis adalah kesederhanaan kehidupan rakyat jelata dengan pelbagai kesukarannya. Namun usah dipandang sepi, rakyat yang sudah terbiasa dengan pelbagai kesukaran, tetap dahaga kepada infrastruktur yang meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Penulis merupakan Timbalan Pengarah Kanan di Jabatan Canselori UKM, Abdul Razak Hussin.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan