Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dari sekadar minat jadi kerjaya

Juara Unduk Ngadau 2018 Hosiani James Jaimis memakai baju tradisi yang dijahit sendiri oleh Bruno (kanan).

KOTA KINABALU: Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perhotelan tetapi ‘terjun’ dalam bidang menjahit baju tradisional KadazanDusun yang hanya sinonim dalam kalangan wanita suatu ketika dulu, sehingga namanya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Sabah.

Bruno George Sadiwa, 30, minatnya dalam menghasilkan baju-baju tradisi kaum di Sabah mula ‘berputik’ seawal usia 17 tahun namun oleh kerana tidak mempunyai peluang untuk belajar menjahit dan mengetahui ciri-ciri baju tradisional KadazanDusun, minatnya terpaksa dipendam sehingga usianya menjangkau 22 tahun, akhirnya beliau berjaya mencipta sejarah buat dirinya sendiri dengan menghasilkan baju tradisi yang hanya dijahit menggunakan tangan.

Bermula pada tahun 2012 , di usia 24 tahun, namanya buat pertama kali tercatat dalam senarai individu yang bertanggungjawab menghasilkan baju tradisi yang akan dipakai oleh peserta Ratu Unduk Ngadau dan bermula dari detik itu, Bruno mula memberikan komitmen sepenuhnya dalam pembuatan baju-baju tradisi di Sabah.

“Saya mula berminat dalam menghasilkan baju tradisi ini pada usia 17 tahun namun saya terpaksa pendamkan kerana tidak mempunyai peluang untuk belajar menjahit.”

“Pada tahun 2010 ketika masih menuntut di Universiti Utara Malaysia, saya mencuba untuk menjahit baju tradisi ini kerana pada waktu itu ramai yang meminati baju tradisi ini tapi saya hanya mampu tunjukkan melalui gambar kerana tidak membawa baju itu bersama.”

“Bermula dari detik itu, saya telah mencabar diri saya dan usaha itu tidak sia-sia kerana akhirnya saya berjaya menjahit baju Tradisi Dusun Ranau hanya dengan menggunakan tangan kerana tidak mempunyai peralatan yang mencukupi,”katanya.

Bruno yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik, mengambil inisiatif dengan belajar sendiri cara-cara menjahit melalui You Tube dan juga belajar daripada rakan-rakannya sehinggalah berjaya menghasilkan jahitan yang lebih halus dan berjaya menawan hati siapa sahaja yang melihat hasil tangannya.

Selain menghasilkan baju-baju tradisi, Bruno juga berkemahiran dalam menghasilkan baju kontemporari yang bercirikan baju tradisi sehingga pernah memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan rekaan pakaian yang dianjurkan di Sabah.

Rekaannya juga bukan sahaja terkenal di dunia peragaan tempatan di Sabah malah rekaan Bruno juga sering disewa untuk kegunaan perkahwinan dengan kadar sewa yang boleh mencapai RM2,000.00 untuk beberapa pakaian tradisi.

“Bidang ini bukan mudah dan ada cabarannya sendiri kerana tempahan untuk baju tradisi ini hanya mempunyai permintaan yang banyak sewaktu musim Pesta Kaamatan iaitu sekitar bulan Mac sehingga bulan Mei sahaja.”

“Untuk menjana pendapatan yang lebih saya juga menyewakan hasil tangan saya ini bagi tujuan perkahwinan dengan kadar sewa RM2,000.00 untuk beberapa pakaian,”katanya.

Disebalik kejayaannya dalam menempa nama dalam perusahaan menghasilkan baju-baju tradisi, Bruno menyifatkan, sokongan moral keluarganya terutama kedua ibu bapanya merupakan pendorong kepada kejayaan beliau.

Katanya, walaupun memiliki Ijazah tetapi memilih bidang lain sebagai kerjaya, keluarganya tidak pernah memandang serong terhadap pilihannya malah sentiasa menjadi ‘orang kuat’ di belakangnya, lebih-lebih lagi ketika ini individu yang berkebolehan dalam menghasilkan baju tradisi KadazanDusun di Sabah semakin berkurang.

“Pada awalnya keluarga saya agak hairan kenapa saya memilih kejaya ini sedangkan saya mempunyai latar pendidikan yang tidak sepadan dengan kerjaya pilihan saya.”

“Namun selepas mereka melihat hasil yang saya perolehi selepas pertama kali terlibat dalam penyediaan pakaian Ratu Unduk Ngadau mereka mula memberikan sokongan sepenuhnya kepada saya,”katanya./SayangSabah

Bruno menunjukkan ‘Sigar’ hasil tangannya sendiri. -Gambar Oleh Alex Mairin

Komen


Berita Berkaitan