Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dapur Ramadhan PBSMM menghargai petugas malam

Easther Karen Philip.

KOTA KINABALU: Semerbak bau rempah ratus sedang di tumis menyelubungi perkarangan Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Sabah sepanjang malam Ahad bagi menyiapkan juadah sahur.

Menu Nasi Ayam, Ayam Masak Kicap beserta acar sebanyak 585 pek di masak secara gotong royong untuk di agihkan pada petugas malam, ke beberapa agensi sekitar ibu negeri.

Antara agensi yang menerima pek-pek tersebut ialah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Balai Bomba Lintas, Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, Rumah Amal Kasih Kingfisher dan Madrasah Wakaf Islamiah Sabah.

Easther Karen Philip, 19 antara 60 orang sukarelawan PBSM yang turut sama bergotong royong bersengkang mata sejak 9.00 malam menyediakan rencah dan bahan-bahan untuk memasak.

“Ini merupakan penglibatan ke dua saya dalam Program Dapur Ramadan dan yang pertama pada tahun lalu juga saya terlibat.

“Saya dapat tahu mengenai program ini daripada PBSMM cawangan Tenom dan terus berminat untuk sertai lagi kali ini bagi mencari pengalaman bersama ahli-ahli lain.

“Saya memang berminat menjadi ahli PBSMM malahan keluarga juga menggalakkan saya melibatkan diri dalam program sukarelawan begini.

“Pagi ini saya memang berasa seronok memasak walaupun agak penat tetapi dapat eratkan hubungan dengan kawan-kawan lain dalam persatuan,”ujarnya.

Menurut Easther yang berbangsa Lundayuh, dia juga tidak mempunyai masalah bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan agama dengannya malahan keakraban itu umpama sebuah keluarga.

“Saya pernah cuba berpuasa ketika di tingkatan satu, memang terasa lapar, tetapi mencabar tahap kesabaran seseorang.

“Apa yang saya faham tentang puasa, ia bukan sahaja supaya seseorang tidak makan dan minum tetapi melatih kita untuk mengamalkan nilai-nilai baik dalam kehidupan.

“Saya juga pernah satu kali memakai baju kurung bersama rakan-rakan kerana telah berjanji untuk memakainya bersama-sama.

“Begitulah seronoknya hidup bergaul di Sabah kerana ia sangat baik untuk eratkan silaturahim, dan perkhidmatan sebagai ahli PBSMM juga tidak kira pada sesiapa walaupun orang yang tidak dikenali yang penting mereka dapat di bantu,”kata Easther.

Easther juga berharap agar belia lebih aktif menyertai program seperti ini supaya dapat belajar bekerjasama dan untuk mengeratkan hubungan antara budaya.

Mohd Yusry Jamrin.

Dalam pada itu, wakil Balai Bomba Lintas, Mohd Yusry Jamrin, 42 gembira kerana pihaknya terpilih lagi untuk merasa air tangan sukarelawan PBSMM untuk bersahur.

“Pada tahun lalu, program ini di buat sebelah petang untuk berbuka puasa berbeza pada tahun ini pula dijemput untuk bersahur.

“Ahli-ahli PBSMM ini seharusnya menjadi contoh dan model kepada remaja di luar sana kerana tidak pernah berkira dengan masa mereka untuk terlibat dengan aktiviti sebegini.

“Kami juga berterima kasih kerana diberi peluang lagi untuk bersama-sama menjayakan aktiviti Dapur Ramadan tahun ini,”katanya.

Dsp Kalsom Idris .

Sementara itu juga, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Kota Kinabalu, Dsp Kalsom Idris bersyukur kerana PBSMM sudi memberi sebanyak 200 pek juadah bersahur kepada semua anggota IPD yang bertugas pada hari tersebut.

“Juadah-juadah tersebut akan diagihkan kepada anggota-anggota balai yang bertugas pagi ini, sudah dua kali PBSMM menghantarkan juadah buat kami bermula tahun lepas.

“Saya berharap PBSMM terus maju jaya mengembangkan aktiviti-aktiviti sihat sebegini, selain dapat merapatkan hubungan masyarakat dan anggota polis.

“PBSMM juga sebagai jambatan kita kerana mereka ini adalah mata dan telinga polis untuk membantu dalam mencegah jenayah, dan mereka banyak memberi sumbangan dalam aktiviti kepolisian,”katanya.

Kevin Lo.

Penolong Pengarah Belia Bulan Sabit Malaysia Sabah, Kevin Lo berkata matlamat Dapur Ramadan tahun ini adalah untuk memberikan satu aktiviti kepada para belia dengan berkongsi aktiviti kesukarelawanan bersama dengan masyarakat.

“Dapur Ramadan juga dijadikan sebagai satu aktiviti tahunan yang mana tahun lepas kita telah berjaya melaksanakan aktiviti ini.

“Selain itu, matlamat kita juga adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim diantara ahli-ahli Bukan Sabit Merah, tidak kira pegawai atau ahli biasa untuk menyambut bulan Ramadan ini dan menyemarakkan lagi semangat gotong royong kepada belia dalam persatuan,”ujar Kevin.

Kevin yang juga Pengerusi Penganjur Dapur Ramadan berharap agar belia muda dapat mengisi masa terluang dengan menyertai badan-badan sukarela bagi memupuk semangat kesukarelawan, melatih diri dengan kemahiran insaniah, melahirkan perasaan kasih sayang dan cintakan keamanan sesama manusia sejagat.

“Selain itu, melalui berpersatuan kita ingin melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berinspirasi tinggi bagi membawa suara- suara belia muda untuk membangunkan Malaysia ke arah yang lebih cemerlang.

“Dalam aktiviti ini juga tanpa mengira agama dan bangsa, kami berkumpul bersama-sama dan membuat aktiviti memasak dan melaksanakan program ini sehingga berjaya,”katanya.

Turut bersama turun padang memberi sokongan, Pengerusi PBSMM Negeri Sabah,
Asnan Yunus Chung; Naib pengerusi I, BSMM Sabah, Mohd Saiful Seman; Naib Pengerusi I , Daerah Bandaraya Kota Kinabalu, Remy Gunsalam dan Setiausaha Kehormat Negeri Sabah, Elizabeth Sikayun.

Turut sama menyertai program ini, Penolong Pengarah Pasukan Bantuan Sukarelawan (VAD), Wilayah Persekutuan Labuan, Mazdi Bin Salleh yang hadir bersama tiga orang ahli VAD dalam Dapur Ramadan./PENERANGAN

Komen


Berita Berkaitan