Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dalang tragedi MH17?

17

Kumpulan pemberontak pro-Russia semalam buat pertama kali menyiarkan gambar juruterbang tentera Ukraine yang didakwa bertanggungjawab menembak jatuh pesawat penerbangan MH17 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menyebabkan semua 298 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.

Pada masa sama, Jawatankuasa Siasatan Russia – setaraf FBI – menggesa supaya Kapten Vladislav Voloshin melakukan ujian mengesan penipuan dan berdepan dengan soal siasat rasmi.

Menurutnya, terdapat banyak bukti terhadap juruterbang itu yang perlu ditimbang oleh siasatan rasmi yang diketuai kerajaan Belanda.

Dipercayai berusia lewat 20-an, Voloshin dinamakan sebagai dalang peristiwa itu oleh ‘saksi rahsia’ di pangkalan udara Dnipropetrovsk, tempat dia bertugas.

Menurut saksi itu, juruterbang berkenaan berlepas dengan jet penggempur Su-17 lengkap dengan peluru berpandu udara ke udara pada 17 Julai tahun lalu, tetapi kembali mendarat tanpa senjata berkenaan selepas pesawat Boeing 777 itu meletup di udara.

Sebaik mendarat, Voloshin dilihat ‘ketakutan’ sambil kedengaran merungut ‘pesawat’ – mungkin mengenai MH17 – ‘berada di tempat dan masa yang salah,’ menurut seorang tentera Ukraine yang tidak dinamakan dan kini dikawal di satu lokasi rahsia di Russia.

Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Alexander Bastrykin, bekas rakan sekelas Presiden Russia Vladimir Putin menegaskan, saksi itu lulus ujian poligraf dan kenyataannya boleh dipercayai.

Voloshin tidak bercakap secara terbuka mengenai tragedi MH17 itu, tetapi menafikan bertanggungjawab menerusi pegawai atasannya.

Ukraine mendakwa Russia melakukan propaganda dan cuba menyalahkan Voloshin.

Sejak peristiwa berkenaan, Moscow berulang kali mendakwa MH17 ditembak oleh pesawat Ukraine yang berada di udara berhampiran pesawat Malaysia itu sambil menyangkal analisis Barat bahawa ia ditembak pemberontak pro-Russia dengan peluru berpandu BUK.

“Biar Voloshin menjalani ujian pengesan pembohongan dengan pakar Belanda atau Malaysia. Wakil Jawatankuasa Siasatan Russia sudah bersedia berlepas ke Ukraine dengan segala kelengkapan untuk memeriksa Voloshin dan semua yang mungkin tahu mengenai kejadian itu,” kata jurucakap Jawatankuasa Siasatan Vladimir Markin.

Dia juga mendesak tentera Ukraine mendedahkan semua log penerbangannya pada 17 Julai, hari MH17 ditembak jatuh dan membenarkan Russia menyoalsiasat pengawal trafik udaranya.

Merujuk kepada perkhidmatan rahsia Ukraine, Markin berkata: “Kami menanti jawapan daripada SBU.”

Pegawai SBU Markiyan Lubkivskyi menegaskan Voloshin tidak terbabit dalam misi serangan pada 17 Julai dan tidak menggunakan senjata terhadap sasaran udara dalam konflik dengan Russia.

“Juruterbang itu tidak terbang pada hari berkenaan dan pesawatnya dibaiki kerana kerosakan yang dialami ketika mendarat pada 16 Julai,” kata Lubkivskyi.

Enam minggu selepas kejadian itu, pesawat Voloshin ditembak jatuh di timur Ukraine. Dia berjaya keluar dari pesawat itu dan melarikan diri dari wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Russia.-AFP

Komen


Berita Berkaitan