Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,640

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dalang kebakaran 200 rumah dipenjara 10 tahun

2:15pm 16/02/2016 Pak Roshan 843 views Jenayah,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang lelaki kerana membakar rumahnya yang menyebabkan hampir 200 rumah lagi turut musnah di perkampungan atas air Kampung Disayang, Batu Sapi, awal bulan ini.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Saudin Musa, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dengan api.

Egusra memerintahkan Saudin yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman itu selepas selesai penjara 20 bulan dijatuhkan Mahkamah Majistret kerana melakukan ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 12 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, Saudin menyerang dan menetak rumah seorang penduduk di Kampung Disayang, pada jam 9.30 malam 4 Februari lalu menggunakan pedang samurai.

Siasatan polis mendapati tertuduh mengamuk selepas mendakwa dipukul beberapa lelaki tidak dikenali ketika menghidu gam kira-kira jam 5.30 petang pada hari sama.

Bapa tertuduh juga membuat laporan polis mendakwa tertuduh pulang ke rumah dalam keadaan mengamuk sambil memegang pedang samurai, sebelum membakar biliknya menyebabkan rumah tertuduh dan hampir 200 rumah lain musnah.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faisal Mohd Noor meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengutamakan kepentingan awam dan latar belakang tertuduh yang pernah disabitkan kesalahan mencabul, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

“Perbuatan jenayah tertuduh bukan saja mengakibatkan kemusnahan dan kerugian harta benda jiran serta penduduk kampung termasuk rumah keluarganya, malah perbuatan khianat dengan api risikonya sangat besar.

“Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat, jumlah kerugian penduduk dianggarkan RM2.5 juta. Boleh dikatakan tertuduh bernasib baik sebab tiada kemalangan jiwa,” katanya.

Terdahulu, ketika disoal hakim mengenai perasaan tertuduh selepas melakukan perbuatan itu, Saudin dengan kepala berbalut berkata, dia menyesal. Egusra berkata, hanya disebabkan kemarahan tertuduh, orang lain yang tidak bersalah turut kehilangan harta benda. –  BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan