Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Dakwaan Bawa Masuk 1.5 Juta Pekerja Bangladesh Tidak Benar

3:41pm 19/02/2016 Pak Roshan 367 views Isu Semasa,Mutakhir
Datuk Seri Richard Riot Jaem

Datuk Seri Richard Riot Jaem

PUTRAJAYA : Tanggapan bahawa 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini adalah tidak benar, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Bangladesh yang ditandatangani di Dhaka, Bangladesh semalam langsung tidak menetapkan sebarang angka pekerja yang akan dibawa masuk.

“Jumlah yang akan dibawa masuk bergantung kepada permintaan daripada pihak majikan.

Katakan sebuah syarikat memerlukan 1,000 pekerja, maka syarikat itu akan memohon jumlah pekerja yang diperlukan. Jadi ia bergantung kepada permintaan industri tempatan,” katanya dalam sidang media mengenai pekerja asing, di sini hari ini.

Katanya angka 1.5 juta itu adalah jumlah pekerja Bangladesh yang berdaftar dengan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Seberang Laut negara itu untuk mendapatkan pekerjaan di 139 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Akhbar tempatan Bangladesh semalam melaporkan Malaysia dan Bangladesh memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membawa masuk pekerja secara berperingkat untuk tempoh lima tahun.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Riot dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Seberang Laut Bangladesh Nurul Islam.

Riot, yang tiba di Malaysia 4.30 pagi tadi selepas menandatangani MoU itu, berkata MoU dengan Bangladesh adalah seperti lain-lain MoU mengenai pekerja asing yang ditandatangani Malaysia sebelum ini dengan negara lain.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani tujuh MoU dengan negara sumber tenaga kerja iaitu Indonesia, Thailand, India, Kemboja, Pakistan, Sri Lanka dan Vietnam selain daripada Bangladesh, katanya.

Riot berkata MoU yang ditandatangani antara Malaysia dan Bangladesh semalam adalah untuk terma perekrutan pekerja selama lima tahun dan akan tertakluk kepada satu semakan selepas lima tahun.

MoU kerajaan dengan kerajaan itu juga lebih ketat kerana pekerja Bangladesh yang ingin ke negara ini akan diperiksa sama ada terlibat dalam kegiatan jenayah dan pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum dibenarkan masuk dan bekerja di Malaysia, katanya.

Riot berkata majikan perlu memohon pekerja Bangladesh menerusi sistem dalam talian yang dipanggil Sistem Pengurusan Pekerja Bangladesh (BWMS) yang diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Tidak akan ada unsur monopoli dan sebagainya dalam MoU itu,” katanya ketika menjawab satu soalan terhadap laporan mendakwa terdapat unsur monopoli dalam pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia.

MoU mensyaratkan kerajaan Malaysia memastikan ketelusan dan keadilan pada sistem dalam talian untuk pemilihan Agensi Perekrutan Bangladesh dan pengagihan kuota, katanya.

Kepada satu soalan, Riot menegaskan kemasukan pekerja asing adalah berdasarkan permintaan industri dan kerajaan mengambil langkah perlu untuk memastikan jumlah maksimum adalah 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam negara.

Berikutan jumlah tenaga kerja di dalam negara ketika ini sebanyak 15.3 juta, jumlah pekerja asing pada kadar 15 peratus sepatutnya 2.3 juta, katanya.

Setakat Disember tahun lepas, katanya jumlah pekerja asing yang didokumentasikan di Malaysia ialah 2,135,035.

Riot berkata dianggarkan bagi setiap 10 pekerja asing yang sah, akan terdapat lapan pekerja asing tanpa dokumen, dan ini bermakna, dianggarkan terdapat 1.7 pekerja asing tanpa dokumen di negara ini.

Katanya kerajaan sedang ‘berusaha sebaik mungkin” untuk memastikan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus dan menurutnya kerajaan mengambil langkah perlu untuk memastikan penguatkuasaan ditingkatkan terhadap pekerja asing tanpa izin dan menghantar mereka pulang ke negara asal.

Riot berkata Kementerian Sumber Manusia sedang menjalankan kajian terhadap permintaan bagi pekerja asing di Malaysia menerusi Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh.

“Kajian itu telah mula dijalankan empat hingga lima bulan lepas dan kami berharap untuk menyiapkannya dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Riot berkata walaupun Malaysia tidak mahu terlalu bergantung kepada pekerja asing, negara masih memerlukan mereka dalam sektor seperti pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.

Ketika ini, katanya terdapat 282,287 pekerja Bangladesh yang sah di Malaysia dan daripada jumlah itu sebanyak 109,743 bekerja dalam sektor pembinaan; 104,311, pembuatan; 32,609, perkhidmatan; 21,253, perladangan dan 14,371, pertanian.

Tentang negara sumber lain, beliau berkata antara negara itu Indonesia mendahului senarai dengan 828,283 pekerja, diikuti Nepal (526,933); Kemboja (143,056); India (136,435) dan Myanmar (8,548).

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan