Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,723

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Daesh/IS Pernah Ancam Bom Jakarta – Polis Indonesia

3:18pm 14/01/2016 Pak Roshan 228 views Global,Mutakhir

jakarta-explode

JAKARTA – Anggota-anggota militan Daesh atau juga disebut IS dipercayai melancarkan enam serangan bom dan senjata api yang membunuh sekurang-kurangnya enam orang di tengah ibu kota Indonesia pada Khamis.

Menurut jurucakap polis tempatan, Anton Charliyan, serangan itu berlaku kebetulan selepas satu ancaman oleh kumpulan militan Daesh diterima pihaknya yang mengugut bakal memberi tumpuan kepada negara tersebut.

“Kami sebelum ini menerima ancaman daripada Daesh, bahawa Indonesia akan menjadi tumpuan mereka,” kata beliau namun berkata pihak polis tidak tahu siapa yang bertanggungjawab dalam enam pengeboman pagi Khamis.

Anton berkata pihaknya mengesyaki seorang pengebom nekad bertanggungjawab atas sekurang-kurangnya salah satu letupan itu, dan dipercayai sehingga 14 anggota militan terbabit dalam serangan itu, lapor stesen Metro TV.

Indonesia sejak kebelakangan ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga akibat ancaman pengganasaan dan polis antipengganas tempatan pernah menangkap ramai orang yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan Daesh.

Beliau berkata tiga pegawai polis tempatan dan tiga orang awam maut. Media melaporkan enam bom diletupkan, dan saksi-saksi melihat tiga mayat bergelimpangan selepas satu kejadian berbalas-balas tembakan meletus.

Salah satu letupan berlaku di kafe terkenal Starbucks dan pasukan keselamatan kemudian dilihat memasuki bangunan itu. Penembak hendap polis juga dikerahkan selain ratusan lagi pegawai keselamatan sokongan.

“Banyak tingkap Starbucks hancur berderai. Saya lihat mayat bergelimpangan tepi jalan. Tiada lagi tembakan tetapi ada seseorang di atas bumbung dan polis acu senjata api ke arahnya,” kata jurugambar agensi Reuters.

“Saya lihat seorang pegawai polis ditembak mati di depan mata saya sendiri,” kata seorang saksi kepada stesen TV One. Satu letupan berlaku luar pusat beli-belah Sarinah. Media melaporkan satu pos polis di situ diletupkan.

Sebuah bangunan pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Indonesia berhampiran tempat kejadian itu segera ditutup, malah tiada orang lagi yang dibenarkan masuk atau keluar dari situ, kata seorang saksi.

jakarta-blast

Orang ramai di beberapa bangunan tinggi di kawasan itu juga dipindahkan. Bank pusat Indonesia turut terletak di kawasan sama, dan seorang jurucakap bank itu berkata satu mesyuarat dasar tetap diadakan mengikut jadual.

Dalam pada itu, satu lagi letupan berasingan kedengaran kuat di kawasan barat Palmerah, menurut tweet beberapa media tempatan, namun maklumat lanjut mengenai insiden tersebut tidak pula diberikan.

Indonesia pernah dilanda serangan-serangan pengganas pada tahun 2000-an, yang paling berdarah ialah serangan bom di sebuah kelab malam di Bali yang membunuh 202 orang, kebanyakannya pelancong Barat.

Para pegawai sejak kebelakangan ini khuatir tentang kemunculan kembali serangan pengganas yang dipengaruhi kumpulan seperti Daesh dan pengganas Indonesia yang pulang ke tanah air setelah bertempur di Timur Tengah.

Kali terakhir serangan kumpulan pengganas secara besar-besaran dilancarkan di Jakarta ialah pada Julai 2009, apabila bom diletupkan di hotel JW Marriott dan Ritz Carlton. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan