Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Dadah Masih Musuh No.1 Negara – Wan Junaidi

gambar13

KUCHING – Pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah masih menjadi musuh nombor satu negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata kemunculan pelbagai jenis dadah baharu dari negara jiran seperti Filipina, Myanmar dan China selain Afrika turut mengancam keselamatan negara.

Katanya, kemunculan dadah jenis baharu itu turut menyumbang kepada peningkatan kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kalangan belia di negara ini.

“Kegiatan ini perlu dibanteras habis-habisan kerana jika ia mencapai tahap epidemik ia akan menghancurkan masyarakat dan negara kita,” katanya pada sambutan Hari Antidadah (Hadak) peringkat Negeri Sarawak di Kampung Santubong dekat sini, hari ini.

Menurut Junaidi sasaran utama penagihan dadah adalah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara pada masa depan.

“Penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi, rohani dan budaya rakyat jelata dan seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan mengancam keselamatan negara,” kata Wan Junaidi.

Menurut beliau, trend penyalahgunaan dadah yang bertukar daripada dadah tradisional seperti ganja dan candu kepada dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan ecstacy kini mudah dibawa masuk ke negara ini memandangkan saiznya yang kecil dan mudah ditelan.

Beliau berkata menurut laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang dikeluarkan pada 20 Mei 2014 menunjukkan bahawa Asia merupakan pasaran dadah sintetik jenis perangsang Amphetamine (ATS) terbesar di dunia.

“Trend rampasan Syabu terus meningkat sehingga tiga kali ganda dalam masa lima tahun terakhir hingga mencecah 36 tan metrik. Kenaikan permintaan Syabu serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu di pasaran Asia berlaku kerana pemprosesan dadah berskala besar berpusat di negara China, Myanmar dan Filipina dan ia membawa ancaman dan kemudaratan yang amat berbahaya kepada negara dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata rekod AADK menunjukkan jumlah penagih yang dikesan dari tahun 1998 sehingga 2013 adalah sebanyak 365,945 orang.

Wan Junaidi berkata menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada kelazimannya, seorang penaih dadah yang dikesan akan mempunyai empat orang penagih lain di belakangnya, iaitu dengan nisbah 1:4.

“Ini bermakna secara kasarnya jumlah penagih di negara ini adalah seramai 1.46 juta orang,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka, manakala ketua-ketua masyarakat harus memberi bimbingan dan nasihat kepada rakyat di bawah bimbingan masing-masing.

Beliau juga mahu pihak penguat kuasa seperti polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam sentiasa membuat pemantauan dan bertindak ke atas setiap maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan