Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Culik: Tidak Wajar Persalahkan Esscom Sepenuhnya – Nasir

6:54pm 18/04/2016 Pak Roshan 89 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

6esscom-kudat-600x367

KOTA KINABALU : Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)Senallang Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata adalah tidak wajar untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi insiden penculikan di perairan negara baru-baru ini.

Beliau berkata semua pihak perlu lebih realistik dan melihat secara positif dengan pelbagai kemajuan yang dilakukan oleh Esscom termasuk mengekang beberapa kes penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebelum ini.

“Pelaksanaan perintah berkurung di beberapa kawasan di Esszone, penambahan anggota keselamatan dan aset serta pembinaan pangkalan operasi hadapan adalah langkah proaktif yang sememangnya memberi impak positif.

“Tetapi, apabila berlaku kes ancaman keselamatan seperti penculikan, keberkesanaan semua langkah dan inisiatif berkenaan kembali dipersoalkan,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Johar Mahiruddin pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nasir berkata kes penculikan yang didalangi kumpulan sama itu perlu ditangani secara lebih holistik dengan melibatkan bukan hanya kumpulan penguatkuasa semata-mata.

Beliau menyarankan supaya kolaborasi penyelidikan pada tahap tertinggi perlu segera digemblengkan secara eksklusif bagi menghasilkan dapatan yang konklusif.

Sementara itu, ADUN Klias Datuk Seri Lajim Ukin pula berkata jika isu keselamatan itu dibiarkan berlarutan di Sabah, ia dikhuatiri menjadi satu ancaman yang mempengaruhi ekonomi negeri ini.

“Sebelum ini, hanya sektor pelancongan yang menerima kesan langsung ancaman keselamatan itu. Namun, kini pengganas dilihat memperluas sasaran mereka kepada kapal nelayan dan kapal dagang. “Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memulihkan keyakinan golongan peniaga, pelabur dan rakyat terhadap isu keselamatan dan kedaulatan di negeri ini agar aktiviti ekonomi tidak akan terencat,” katanya semasa membahaskan ucapan berkenan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan