Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Cukai Pelancongan: Tiada Pelancong Batal Lawatan Ke Sabah

KOTA KINABALU, 8 Ogos – Tiada pelancong asing membatalkan lawatan ke Sabah gara-gara Cukai Pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada pelancong yang terpaksa membatalkan lawatan ke negeri ini atas faktor ketiadaan bilik hotel semasa tempoh lawatan mereka.

“Pada ketika ini, kita akui bilik hotel atau tempat penginapan di Sabah tidak mencukupi untuk menampung ramai pelancong,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lajim Ukin (Harapan Rakyat-Klias) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Ketika menjawab soalan Dr Edwin Bosi (DAP-Kapayan) berkaitan pendirian negeri berhubung Akta Cukai Pelancongan 2017 yang sepatutnya bermula 1 Julai lepas, Masidi berkata kerajaan Sabah sependapat dengan kerajaan Sarawak yang mahu cukai itu ditangguhkan sehingga 31 Mac tahun depan.

Jelasnya, penangguhan itu selari dengan kontrak membawa pelancong oleh pengendali pelancongan yang akan tamat dan diperbaharui pada Mac setiap tahun.

Beliau berkata, kerajaan kedua-dua negeri, menerusi memorandum yang dipersetujui sebelum ini juga mahu supaya bidang kuasa pelancongan dipulangkan kepada negeri.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman turut memberitahu dewan bahawa kerajaan juga terpaksa mengambil langkah menasihatkan agensi pelancongan supaya tidak membawa jumlah pelancong yang besar secara sekali gus.

Sebaliknya, agensi berkenaan boleh membawa pelancong ke negeri ini secara berperingkat, tambahnya.

“Pernah seorang ahli perniagaan dari China memberitahu saya, dia mahu membawa 10,000 pelancong ke negeri ini, tetapi saya memintanya supaya membawa dalam jumlah lebih kecil secara berperingkat dan tidak membawa sekali gus.

“Jelas sekali Sabah begitu popular dalam kalangan pelancong dari luar negara,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan