Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Cuaca Panas Diramal Beransur Baik Menjelang April

10:45am 16/03/2016 Pak Roshan 160 views Isu Semasa,Mutakhir

Fenomena-El-Nino1

KUALA LUMPUR – Cuaca panas melampau dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini diramal beransur baik menjelang April ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata musim peralihan monsun itu akan menyebabkan cuaca di negara ini akan kembali lembap dan mengurangkan suhu panas yang dialami ketika ini.

El Nino yang melanda negara sejak Disember dan Januari lepas merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik kawasan Khatulistiwa yang berlaku setiap dua hingga tujuh tahun, katanya.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang pula berkata fenomena El Nino itu kini berada dalam fasa menurun.

“Kita mengalami keadaan panas luar biasa dalam fasa penurunan fenomena ini terutamanya dalam bulan ini,” katanya.

Dr Fredolin yang berpengalaman selama 20 tahun membuat kajian berkaitan fenomena itu berkata kawasan utara Semenanjung, utara Sarawak, Sabah dan Selatan Filipina akan mengalami kemarau serta cuaca panas melampau dalam fasa tersebut.

Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan suhu maksimum ketika cuaca panas melampau ketika ini boleh mencapai sehingga 40 darjah celcius.

Di daerah Chuping, Perlis pada Isnin misalnya, kawasan itu mencatat suhu tertinggi se-panjang tahun dengan bacaan 39 darjah Celsius.

Bagaimanapun bacaan tersebut belum mengatasi suhu paling panas yang pernah direkodkan dalam sejarah negara iaitu 40.1 darjah Celcius, juga di Chuping pada 1998.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan cuaca panas ini juga boleh mencetuskan fenomena gelombang haba, iaitu situasi yang boleh membawa risiko kesihatan seperti strok haba.

Sementara itu, bekalan air di semua empangan utama di negara ini masih dalam keadaan terkawal dan bertahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata pengeluaran dan penggunaan air ketika ini masih di tahap tidak membimbangkan.

“Sehingga kini, kita tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk membuat catuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Di SHAH ALAM, kadar takungan air di semua tujuh empangan di Selangor semalam mencatatkan bacaan melebihi 70 peratus.

Menurut statistik di portal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), empangan Langat mencatatkan kadar takungan air sebanyak 70.16 peratus manakala empangan Sungai Selangor pula pada tahap 86.51 peratus.

Empangan Semenyih pula mencatatkan paras air sebanyak 85.32 peratus; empangan Klang Gates (80.98 peratus); empangan Sungai Tinggi (88.21 peratus); dan empangan Tasik Subang (97.51 peratus).

Bagaimanapun, kolam takungan ORS Sungai Labu menunjukkan paras takungan air sebanyak 57.66 peratus dan empangan Batu pula setakat bacaan pada 11 Mac mencatatkan kadar 83.36 peratus.

Di JOHOR BAHARU, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ismail Mohamed berkata kerajaan negeri itu telah melaksanakan pelbagai kaedah menghadapi musim panas.

“Antaranya, kita telah dapatkan ‘deep well’ yang berharga RM1 juta daripada Kementerian Pertanian untuk kegunaan 66 orang petani di kawasan tanaman sayuran yang terbesar di Johor iaitu di Sengkang Batu 18, Bukit Gambir,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut menggalakkan pengusaha tanaman menggunakan fertigasi dan hidroponik yang dilihat mampu menampung keperluan sayuran musim kemarau secara minimum sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil tanaman. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan