Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Cuaca bukan penghalang menyaksikan fenomena ‘Supermoon’

3:46pm 15/11/2016 Elezebeth Esther Onjining 111 views Alam Semulajadi,Kota Kinabalu,Tempatan
CHIN (kanan) bersama ahli-ahli kelab yang menyertai aktiviti pencerapan Supermoon malam tadi.

CHIN (kanan) bersama ahli-ahli kelab yang menyertai aktiviti pencerapan Supermoon malam tadi.

KOTA KINABALU- Cuaca tidak menghalang para peminat astronomi untuk menyaksikan fenomena ‘Perigee’ atau ‘Supermoon’ yang berlaku semalam.Keadaan cuaca hujan lebat dan awan yang tebal pada awalnya hampir menghampakan rakyat tempatan untuk menyaksikan fenomena itu.

Bagi peminat Fotografi Astronomi (Astrophoto), Yunus Jinul, 42, bersama empat lagi rakannya agak hampa kerana perancangan untuk merakam gambar fenomena itu terganggu apabila cuaca kurang mengizinkan.

“Bukan rezeki kami untuk merakam imej bulan berlatar belakangkan Gunung Kinabalu kerana langit berawan tebal dan kabus mula meliputi bukit yang kami duduki.

“Namun demikian, kami bersyukur kerana berpeluang menyaksikan kebesaran Allah ini selama lebih kurang 15 minit selepas awan mula berkurangan pada jam 8 malam,”katanya yang berada di Bukit Kokol sejak pukul 5 petang.

Bagi Guru Penasihat Kelab Astronomi Plenty Out There, Chin Kok Chung, 37, berkata peluang menyaksikan fenomena Supermoon itu tidak dilepaskan begitu sahaja olehnya bersama para ahli kelab berkenaan.

“Saya bersama lima ahli persatuan terdiri pelajar dari Tingkatan Tiga dan Empat mengambil bahagian dan turut dibimbing mengambil imej fenomena berkenaan menggunakan teleskop di padang Sekolah Menengah Tinggi Cina, Tawau.

“Imej-imej berkenaan akan disimpan di galeri sekolah bagi kegunaan dan rujukan masa hadapan.

“Walaupun langit berawan dan hujan, kami berjaya merakam imej fenomena terssebut dan ini memberi motivasi kepada para ahli kelab agar tidak berputus asa dan sabar ketika merakam imej-imej fenomena angkasa,”terangnya kepada pihak media ketika dihubungi.

Menurut Chin, sehingga kini kelab tersebut disertai oleh 15 ahli dan telah banyak menganjurkan pelbagai aktiviti pencerapan untuk ahli-ahli dan juga orang ramai.

Imej-imej fenomena tersebut boleh disaksikan di Facebook kelab berkenaan iaitu ‘Plenty Out There – Astronomy Club’.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sabah Stargazer, Dr. Esmar Abd. Hamid ketika dihubungi berkata aktiviti pencerapan fenomena berkenaan terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Pihak kami merancang untuk menganjurkan pencerapan awam bersama penduduk kampung berhampiran balai cerap kami, walau bagaimanapun keadaan cuaca yang hujan dan awan tebal menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membatalkan program berkenaan.

” Dengan izin Allah, kami akan mengadakan program-program pencerapan fenomena lain bersama penduduk kampung pada masa akan datang,” ujarnya.

Supermoon merupakan fenomena yang merujuk kepada keadaan bulan dalam fasa penuh atau purnama. Bulan akan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang disebabkan kedudukannya yang paling hampir dengan Bumi dengan jarak lebih kurang 360,000 kilometer.

Menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), kedudukan paling dekat ini hanya akan berlaku pada 18 tahun lagi dan kali terakhir ia berlaku adalah pada tahun 1945. -Penerangan

IMEJ Bulan semasa fenomena Perigee atau Supermoon yang dirakam oleh ahli Persatuan Sabah Stargazer, Harris Jeffrey di Papar malam tadi.

IMEJ Bulan semasa fenomena Perigee atau Supermoon yang dirakam oleh Kelab Astronomi Plenty Out There di Tawau malam tadi.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan