Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

CTC Mobile akan diperluas ke pulau

KETUA Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (tengah) menyampaikan sumbangan pembiayaan tabung pembangunan usahawan peladang kepada usahawan ketika merasmikan Program CTC Mobile, di Sandakan. – Foto Poliana Ronnie Sidom

 

SANDAKAN: Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (CTC Mobile) bagi memberi pelbagai perkhidmatan percuma kepada rakyat akan diperluaskan ke kawasan pulau di Sabah, mulai tahun depan.

Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Mohd Yunus Charlie Charington, berkata ia bagi memudahkan penduduk di pulau mendapatkan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali gus meringankan beban masyarakat luar bandar.

Katanya, tahun ini kira-kira 80,000 penduduk menerima manfaat daripada 20 program yang dilaksanakan di luar bandar seluruh negeri dengan 9,000 orang daripada 30,000 pemohon mendapat pekerjaan.

“Tahun ini, kita menerima 1,300 permohonan bagi pendaftaran surat beranak, 1,500 penggantian MyKad, 6,700 pendaftaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan 2,000 semakan lesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Menerusi program ini juga, kita membantu rakyat untuk kesejahteraan mereka dengan melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi bantuan pembaikan masjid dan rumah,” katanya ketika berucap dalam Program CTC Mobile yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol.

Sebanyak 42 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, swasta dan NGO menyediakan kira-kira 100 jenis perkhidmatan dalam program dua hari itu, bermula semalam.

Sementara itu, Musa berkata, program itu bukan saja menjadi platform untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat, malah mendengar keluhan masyarakat di luar bandar dan pedalaman.

Katanya, ia membuktikan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa mencari langkah terbaik bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri ini.

“Program ini membuka ‘pintu’ kepada rakyat luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan perkhidmatan percuma.

“Kita bukan ‘masuk bakul, angkat sendiri’, tetapi percayalah mana lagi ada kerajaan di dunia yang memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat jika bukan di Malaysia kerana kerajaan tak pernah jemu, sebaliknya sentiasa berpegang kepada prinsip membela rakyat,” katanya. – BH ONLINE

INFO

Program CTC Mobile Sungai Manila

* 42 agensi kerajaan, swasta dan NGO

* 100 jenis perkhidmatan

* 300 kakitangan kerajaan, swasta dan NGO

Komen


Berita Berkaitan