Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Corat-Coret Hati: Bangkit Dari Lena

9:42pm 11/01/2016 Zakir Sayang Sabah 16 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Hari ini, bila kita melihat dunia, kita perasan bahawa ianya telah didominasi oleh sistem yang jauh untuk berhajatkan mencari redha Allah SWT. Sistem yang dibina bukan untuk membawa manusia tunduk kepada Allah SWT, tetapi lebih ke arah menderhakaiNya, memerangiNya.

Kita baca dan memerhati situasi hari ini, ratusan satelit, bahkan wujud pengkalan angkasa lepas, di atmosfera bumi kita, milik mereka semuanya. Teknologi hari ini, pelbagai kemajuan, baik dalam teknologi maklumat atau ketenteraan, semuanya adalah ciptaan dan hasil tangan penggerak sistem yang rosak ini.

Dan tiba-tiba kita, muslim, mukmin, yang Allah SWT arahkan untuk menjadi hambaNya, khalifah di atas muka bumiNya, sibuk bergaduh dengan muslim, mukmin, yang lainnya. Membanding-banding pendapat antara kita siapa yang lebih benar, cela mencela, keji mengeji. Ada antara kita pula, mungkin tidak terlibat dengan sengketa itu, terlibat pula dengan sengketa dalaman diri, menjadi pemalas, tidak punya etika, tiada disiplin, tidak punya cita-cita dan wawasan. Ada antara kita juga, punya cita-cita dan wawasan, namun hanya untuk dirinya sahaja, hidup untuk kepuasan sendiri.

Rasulullah SAW pernah bersabda akan situasi ini.

“Akan datang satu zaman, musuh akan menghurungi kalian sebagaimana semut menghurungi makanan.” Sahabat bertanya: “Apakah ketika itu kami sedikit ya Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, bahkan kamu ramai, seperti buih di lautan.” Hadith Riwayat Abu Dawud.

Ya, ramai, seperti buih di lautan. Tak bermakna apa-apa. Tak mempunyai kekuatan. Tanpa ditolak pun, buih di lautan akan tertarik semula ke dalam laut.

Pentingnya Kesedaran

Bila kita sedar kita ada masalah, barulah kita akan mampu untuk bergerak membaiki masalah. Tanpa kesedaran, kita takkan tahu wujudnya masalah dan seterusnya kita akan membiarkannya merebak. Kita akan biarkannya membarah.

Begitulah situasi hari ini. Tanpa kesedaran, kita tidak akan rasa kita perlu buat apa-apa. Tiada rasa tergesa untuk memecahkan diri dari kitaran yang ‘sistem’ hari ini ciptakan untuk kita. Tiada daya juang untuk memberikan cabaran kepada sistem yang telah memegang dunia hari ini.

Orang yang merasakan semuanya sedang ‘okay’, ‘baik-baik sahaja’, ‘tak ada apa-apa masalah’ tidak akan bergerak untuk melakukan apa-apa. Dia selesa, dan akan terus rasa hendak selesa. Bahkan ada kemungkinan, dia akan terlalu terperangkap dalam keselesaan itu, sehingga rasa terancam dengan orang yang cuba mengubah sistem tersebut, dan akhirnya dia menjadi tentera sistem, cuba menghapuskan orang yang berusaha mengubahnya.

Begitulah hari ini, di mana dunia telah dijadikan tujuan oleh sistem tadi. Membuatkan kita semua rasa selesa, dengan gaji, dengan teknologi, dengan hiburan dan pelbagai perkara lagi.

Namun Allah awal-awal lagi telah mengingatkan di dalam Al-Quran, berulang kali bahawa dunia ini hanya kesenangan yang menipu daya, hanya permainan.

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” Surah Al-An’am ayat 32.

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” Surah Al-Ankabut ayat 64.

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Al-Hadid ayat 20.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Apakah kita tersedar?

 

Bangkit Dari Lena, Perjuangan Yang Mesti Diteruskan

Allah SWT telah memberikan kita tujuan yang jelas untuk kehidupan kita di atas muka bumi ini.

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mereka mengabdikan diri(kepada Aku).” Surah Adz-Dzariyat ayat 56.

  “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan untuk bumi khalifah(pentadbir).” Surah Al-Baqarah ayat 30.

Bagi yang sedar akan tanggungjawab mereka ini, mereka akan memahami bahawa Islam itu bukan agama yang terpenjara di pagar-pagar masjid dan bukanlah ianya sekadar hal di sekitar sejadah. Tetapi Islam adalah cara hidup yang syaamil(menyeluruh) dan kaamil(sempurna), meliputi segenap aspek kehidupan.

Maka di dalam Islam ada penglibatan dalam pelbagai perkara ini. Kita dapat lihat kefahaman ini juga yang difahami oleh Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna, kerana itu di dalam Risalah Ta’lim, dia menulis usul 20 yang bermula dengan penyataan bahawa Islam sebagai sistem yang sempurna dan menyeluruh:

“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang – undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.”

Kita dapat melihat Asy-Syahid apabila membicarakan akan maksud ‘lengkap dan menyeluruh’ itu, dia menyentuh pelbagai aspek penting dalam kehidupan seperti daulah, tanahair, kerajaan, ummah, akhlak, keadilan, budaya, undang-undang, ilmu, kehakiman, harta benda, dakwah, ketenteraan dan sebagainya. Jelas Asy-Syahid cuba memberikan gambaran betapa menyeluruhnya Islam, yakni ia menyentuh segenap aspek hidup, bukan semata-mata perkara berkait ritual agama sahaja.

Bila menyebut perihal kebangkitan, ianya adalah permulaan kepada kesedaran diri ummat Islam, akan kondisi mereka sekarang, seterusnya pergerakan mereka ke arah perubahan yang lebih baik dalam pelbagai lapangan, yang membawa kepada akhirnya seluruh dunia ini kembali tunduk memperhambakan diri kepada Allah SWT. Dan pastinya perkara ini takkan dapat dicapai dalam masa sehari, jauh sekali seorang diri.

Sebab itu menariknya, Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna mengetengahkan konsep ‘maratib amal’ yang bermula dari pembinaan diri sendiri, seterusnya keluarga muslim, kemudian masyarakat muslim, hinggalah kepada Islam menjadi mahaguru alam(seluruh dunia ini tunduk dengan sistem Islam).

Sebab itu, manusia yang sedar, dia akan bermula dengan memperbaiki dirinya. Menjadikan dirinya seorang yang ada disiplin, berakhlak, kemas dan membuatkan orang hormat. Menjadikan dirinya lebih faham akan Islam, mempunyai wawasan dan cita-cita untuk memberikan sumbangan kepada Islam melalui apa yang dia pakar, apa yang dia mampu dan boleh.

Bagi yang berkemampuan di medan-medan penting seperti ekonomi, politik, ketenteraan dan sebagainya, melaksanakan kerja di medan masing-masing, dengan matlamat dan tujuan yang sama.

Inilah perjuangan yang Rasulullah SAW sendiri bawa dan lalui. Bermula dengan pembinaan para sahabat sepanjang 13 tahun pertama dakwah di fasa Makkah, berterusan ke pembinaan kerajaan di Madinah dan penyebarannya yang meluas ke seluruh dunia.

 

Tanggungjawab Yang Besar, Mustahil Berlenggang Kangkung

Bila kita mempunyai kesedaran sebegini, memahami tanggungjawab dan beban perjuangan yang perlu dilaksanakan, sudah pasti kita tidak akan menjalani kehidupan dengan sambil lewa dan berdiam diri.

Sudah pasti kehidupan kita akan sibuk dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan kita sendiri akan mula meletakkan target-target, mempunyai wawasan, ada cita-cita.

Namun pastinya kesungguhan itu akan dicabar. Dicabar oleh nafsu, oleh syaitan, dan manusia sendiri. Bahkan orang muslim dan mukmin sendiri, yang masih belum sedar dan faham, akan sebahagiannya menjadi penentang juga.

Tetapi apa yang penting dalam hal ini bukanlah kemenangan perjuangan. Yang penting adalah usaha yang bersungguh-sungguh dalam berjuang. Kemenangan boleh sahaja tidak terjadi pada umur kita, generasi kita. Tetapi dengan kita melaksanakan kerja-kerja ke arahnya, maka semakin ringanlah beban generasi mendatang untuk meneruskannya, semakin terbukalah pintu kemenangan buat agama kita.

Sebagaimana Muawiyah RA dan gergasi-gergasi selepasnya mempermudahkan perjalanan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstantinopel.

Apa yang penting sebenarnya adalah, apabila kita melibatkan diri dalam perjuangan ini, apabila kita bangkit dari lena, kita sedang membawa diri kita ke arah yang lebih baik.

Masa hadapan yang cerah takkan terbina dengan impian dan harapan semata-mata.

Ia memerlukan manusia-manusia yang bekerja keras ke arahnya, yang berkorban untuknya.

Jangan tuding jari kepada orang lain dan menyatakan ini ialah tanggungjawabnya. Hakikatnya ia adalah tanggungjawab kita semua.

 

Penutup: Bangkitlah Raksasa Yang Tidur. Gemparkan Dunia Ini!

Kita hakikatnya mempunyai kekuatan yang besar. Konco-konco sistem hari ini gerun dengan kita, hingga terpaksa melaksanakan rancangan yang amat rapi untuk menghalang kemaraan kita.

Namun kadangkala, kita mempertuhankan kelemahan kita. Menyebabkan kita tidak ambil kisah akan arahan Tuhan yang kita sembah sebenarnya. Allah arahkan kita untuk berjuang, bangkit menjadi generasi yang baik, menjadi yang layak mentadbir bumi ini, di sampaing kekal menjadi hambaNya yang taat.

Maka bangunlah. Tidur kita sudah terlalu lama.

Bangkitlah dan mula laksanakan sesuatu.

Perubahan yang besar bermula dengan perubahan diri kita sendiri!

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan