Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Contohi perjuangan Rasulullah S.A.W

9:23am 28/12/2015 Elezebeth Esther Onjining 40 views Isu Semasa,Tempatan
Hamisa berselawat bersama-sama dengan masyarakat.

Hamisa (empat dari kanan) berselawat bersama-sama dengan masyarakat.

 

TAWAU- Yang DiPertua Lembaga Kebajikan Perempuan Malaysia Perhubungan Tawau, Datuk Hamisa Samat mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya mencontohi pendekatan Rasulullah S.A.W. dalam menyelesaikan masalah sosial di kalangan penganut agama tersebut.

Beliau berkata, sifat terpuji Rasulullah yang penyabar, bersungguh-sungguh dan berhemah perlu diikuti kerana pendekatan itu merupakan pancaran sebenar daripada ajaran agama Islam.

“Bagi menangani segala permasalahan ini, kita perlu mencontohi perjuangan baginda yang terus memperjuangkan agama dengan penuh sabar dan bijaksana tanpa perlu menggunakan kekerasan.

“Pendekatan itu merupakan formula terbaik bagi seluruh umat manusia dalam menyelesaikan apa juga masalah. Ia sudah terbukti melalui surah Rasulullah S.A.W. dan perkara ini turut diakui dan dikagumi pihak barat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Selawat Perdana Maulidur Rasul 1437H anjuran Badan Usia Tawau dengan kerjasama Lembaga Kebajikan Perempuan Malaysia Perhubungan Tawau di Masjid Bandar Tawau di sini kelmarin.

Hamisa yang juga Adun Tanjong Batu berkata, banyak contoh atau pendekatan yang boleh diteladani daripada perjuangan nabi terakhir itu.

Beliau turut menegur sikap sesetengah umat Islam yang melakukan perkerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh dan lebih malang lagi wujud sikap malas yang menghalang penganut agama itu untuk maju.

Justeru katanya, sikap dan pemikiran negatif perlu dikikis dan masyarakat Islam perlu menonjolkan imej yang tepat mengenai agama itu termasuk menghapuskan persepsi negatif terhadap Islam.

“Masyarakat setempat perlu terus melaksanakan tanggungjawab dan menonjolkan kesucian agama Islam yang ketika ini imejnya dipandang serong,” katanya.

Tambahan beliau lagi, menoleh semula ke belakang dan mencontohi segala perbuatan dan amalan baginda adalah satu-satunya pendekatan paling berkesan dan terbaik.

Menurut Hamisa, sifat Rasulullah yang dihiasi dengan kesempurnaan akhlak, bijaksana, amanah dan memberikan penekanan kepada ilmu seharusnya menjadi sumber inspirasi umat Islam.

“Sempena dengan majlis sambutan Maulidur Rasul ini, marilah kita mempertingkatkan keazaman dan kesungguhan untuk memperkasakan umat Islam.

“Semoga ia akan mencambahkan bibit-bibit iman, tunas takwa dan kembali menyuburkan rasa ihsan agar kita menjadi umat terbaik, sederhana dan berjaya,” ujarnya.

Beliau juga turut meminta generasi muda supaya mendalami ajaran Islam supaya tidak berlaku keruntuhan moral di kalangan remaja. Jenayah yang berlaku pada ketika ini disebabkan kekurangan ilmu pengetahuan agama.

Jelasnya semua itu, mampu dilaksanakan oleh umat Islam di negara ini sekiranya kepentingan terhadap budaya ilmu diletakkan sebagai agenda dalam setiap aspek kehidupan umat Islam.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan