Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Congo guna prototaip ubat baharu rawat ebola, angka kematian cecah 67 orang

BENI (DR Congo), 27 Ogos (BERNAMA-NNN-AGENCIES) — Penularan wabak Ebola di timur Republik Demokratik Congo telah meragut 67 nyawa bulan ini, kata pihak berkuasa ketika mereka melancarkan sejenis ubat baharu bagi menangani virus itu di tengah-tengah kebimbangan bahawa penyakit itu telah merebak ke kawasan yang dikuasai pemberontak.

Sejumlah 105 kes telah dilaporkan sejak wabak Ebola mula menular pada 1 Ogos di Mangina dalam wilayah Kivu Utara, menurut kementerian kesihatan, dan daripada jumlah itu, 77 telah disahkan dijangkiti virus itu menerusi ujian makmal.

Ia berkata 10 orang sembuh daripada virus itu manakala 67 lagi meninggal dunia.

Menteri Kesihatan Oly Ilunga Kalenga telah berlepas ke Mangina pada Khamis dan menyaksikan dua pesakit dibenarkan keluar selepas mereka menjalani rawatan yang menggunakan prototaip baharu dikenali sebagai mAb114.

“Mereka adalah antara 10 pesakit pertama yang menerima molekul terapeutik mAb114,” menurut kenyataan kementerian itu.

Dibangunkan di Amerika Syarikat, ia merupakan ubat terapeutik pertama yang digunakan dalam penularan aktif Ebola di Republik Demokratik Congo.

Minggu lepas, kementerian kesihatan berkata empat lagi ubat eksperimen telah diluluskan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus itu.

Pada Jumaat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa tanda-tanda yang menunjukkan virus itu telah merebak ke bandar Oicha di Kivu Utara boleh melemahkan usaha untuk membendung wabak tersebut.

Meskipun Oicha tidak dikuasai pemberontak, ketua pasukan respons kecemasan WHO Peter Salama berkata bandar itu dikelilingi wilayah dikuasai kumpulan pemberontak Uganda yang digeruni iaitu Angkatan Demokrat Bersekutu (ADF).

Sejumlah besar orang awam terbunuh dalam pergolakan di sekitar Oicha manakala petugas bantuan, paderi dan penjawat awam telah dijadikan tebusan oleh pemberontak.

Pada Jumaat, pasukan tentera telah diserang di Beni, yang terletak di tengah-tengah wilayah penularan wabak Ebola, kata sumber tentera dan awam.

Pemberontak ADF dipersalah dan didakwa melakukan serangan itu.

Tiada angka rasmi yang dikeluarkan namun penduduk tempatan berkata kira-kira 10 orang askar terbunuh dalam serangan itu.

Penularan wabak Ebola terkini merupakan yang ke-10 di Republik Demokratik Congo sejak 1976, apabila penyakit itu mula-mula dikenal pasti dan dinamakan sempena sebatang sungai yang mengalir di bahagian utara negara tersebut.

— BERNAMA-NNN-AGENCIES

Komen


Berita Berkaitan