Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,644

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu Kembali Pada 16 Okt

8:02pm 19/01/2016 Pak Roshan 58 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

gunung-kinabalu

KOTA KINABALU : Perlumbaan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu akan diadakan semula pada 16 Okt tahun ini selepas dibatalkan berikutan kejadian gempa bumi tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya Siri Elit akan diadakan manakala Siri Adventure dibatalkan disebabkan laluannya rosak teruk akibat gempa bumi.

“Oleh kerana kami akan mengehadkan jumlah peserta Climbathon, penyertaan hanya melalui jemputan sahaja.

“Perlumbaan (Siri Elit) tetap sama tetapi kualiti penyertaan lebih baik,” kata beliau kepada pemberita selepas pembukaan semula laluan pendakian Via Ferrata, Mountain Torq, di sini hari ini.

Siri Elit Climbathon membabitkan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter, manakala peserta Siri Adventure, yang diperkenalkan buat kali pertama pada 2013, hanya perlu sampai ke Layang-Layang Hut, setinggi 1,393 meter sebelum puncak.

Masidi memberi jaminan bahawa Gunung Kinabalu adalah selamat untuk pendakian tetapi jumlah pendaki dihadkan kepada 135 orang sehari berbanding 195 sebelum kejadian gempa bumi.

“Hakikatnya, kami menerima tempahan penuh daripada mereka yang berminat untuk mendaki gunung tersebut dari Mac dan beberapa bulan berikutnya.

“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa gegaran kecil akibat gempa susulan adalah biasa di Ranau dan ia tidak menjejaskan keselamatan pendaki,” kata beliau.

Gempa bumi jam 7.15 pagi, 5 Jun tahun lepas, adalah sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter namun mengakibatkan 18 orang pendaki terbunuh, lima daripadanya malim gunung.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan