Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Christopher Dilantik Memangku Jawatan Ketua Pemuda PBS

KOTA KINABALU, 27 Sept – Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christopher Mandut dilantik memangku jawatan Ketua Pemuda PBS, berkuat kuasa hari ini, kata Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun.

Katanya pelantikan Christopher itu diputuskan pucuk pimpinan dan disokong oleh barisan exco pemuda parti berkenaan, susulan tindakan bekas Ketua Pemuda PBS Datuk Jake Jikulin Nointin yang juga Ketua PBS Bahagian Liawan bertindak keluar parti pada 22 Sept lepas.

“Seperti yang kita tahu, beberapa exco pemuda turut meninggalkan parti bersama Jake dan mengenai kekosongan jawatan itu kita serahkan kepada barisan exco pemuda untuk menentukan pada mesyuarat mereka yang akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai PBS bahagian Liawan, Johnny berkata PBS pusat telah mengambil keputusan untuk membuat satu penyelarasan bahagian berkenaan bersama anggota jawatankuasa yang masih kekal.

“Saya akan menjadi ketua untuk membuat penyelarasan itu dan akan dibantu oleh Ahli Majlis Tertinggi parti khususnya untuk menyelaras mesyuarat bahagian,” katanya.

Beliau berkata dakwaan bahawa bahagian itu dibubarkan atau tidak berfungsi adalah tidak benar.

“Mengikut perlembagaan parti, mana-mana bahagian yang ditinggalkan itu tidak akan bubar. Tetapi peringkat pusat yang akan mengambil alih bahagian itu untuk diselaraskan,” katanya.

Mengenai beberapa anggota parti yang turut hadir semasa Jake mengumumkan untuk keluar parti baru-baru ini, Johnny berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis tertinggi akan datang.

“Sebelum program itu diadakan, kita telah menasihatkan agar semua anggota parti tidak hadir kerana kita tahu apa tujuan program itu diadakan dan menurut maklumat yang kita terima ada beberapa anggota yang hadir bersama Jake.

“Perkara ini amat serius bagi kita. Apa pun arahan parti kita perlu patuhi,” tegasnya.

Sementara itu, Johnny berkata setakat ini 56 daripada 61 bahagian PBS di seluruh Sabah telah mengadakan mesyuarat agung bahagian masing-masing. Ini menunjukkan bahawa PBS masih kuat dan masih disayangi oleh semua penyokong di peringkat bahagian.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan