SEPANG: Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha, jaguh
badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tetap meletakkan sasaran untuk muncul juara pada
Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 dari 25-31 Ogos ini di Copenhagen,
Denmark.
Perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata beliau akan diiringi beberapa pakar perubatan
bagi memastikan kecederaan yang dialami pada Kejohanan Siri Super Terbuka Indonesia awal
tahun ini tidak menjejaskan persembahannya pada Kejohanan Dunia.
“Walaupun saya belum pulih sepenuhnya, saya perlu menyertainya kerana ia adalah penting untuk
saya. Sasaran saya tidak pernah berubah iaitu muncul juara,” katanya ketika ditemui pemberita di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini sebelum berlepas ke Copenhagen bersama
skuad badminton negara, Selasa malam.
Chong Wei mengakui walaupun musuh utamanya, Lin Dan dari China gagal melayakkan diri
ke Kejohanan Dunia ekoran kedudukan ranking yang rendah, namun beliau menyifatkan laluan
dalam memburu gelaran dunia sulung tetap berliku.
“Keadaan saya pada ketika ini bukanlah berada pada tahap terbaik. Saya akan cuba yang terbaik
dan tidak berputus asa. Saya tidak mempunyai masalah dengan kecergasan tapi lebih bimbangkan
prestasi semasa saya kerana hampir dua bulan tidak beraksi (dalam mana-mana kejohanan
kompetitif),” katanya.
Chong Wei bakal memulakan aksi pusingan awal berdepan pemain muda Korea Selatan, Lee
Dong Keun.
Dalam pada itu, Chong Wei Feng menyasarkan sekurang-kurangnya untuk mara ke pusingan
ketiga pada edisi ke-21 kejohanan.
Mengakui undian pada kali agak sukar, perseorangan kedua negara itu mahu memberikan fokus
dalam setiap perlawanan sebelum memikirkan lawan seterusnya.
“Saya akan berikan persembahan terbaik bagi sekurangnya-kurangnya berdepan Chen Long pada
pusingan ketiga. Bagaimanapun saya perlu memberikan perhatian kepada lawan pada pusingan
awal kerana ia bukanlah perlawanan yang agak mudah,” kata pemain kidal itu.
Wei Feng turut menyifatkan pemergian Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek
bersama skuad negara ke Copenhagen memberi lebih semangat kepadanya untuk mempamerkan
persembahan terbaik pada Kejohanan Dunia nanti.
“Saya sudah berlatih bersama beliau hampir 10 tahun dan beliau lebih mengenali corak permainan
saya berbanding jurulatih lain,” kata Wei Feng yang bakal berdepan Rajiv Ouseph dari England
pada pusingan pertama.
Rashid dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku
Ariff sebelum ini dilaporkan saling menuding jari menerusi media selepas perseorangan lelaki
negara, Liew Daren mempamerkan persembahan hambar pada Sukan Komanwel 2014 di
Scotland, yang berakhir baru-baru ini.
Selain Chong Wei dan Wei Feng, Malaysia turut menyandarkan harapan kepada 10 wakil negara
yang lain.
Mereka ialah Hoon Thien How/Tan Wee Kiong, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong dan Goh
V Shem/Lim Khim Wah dalam acara beregu lelaki; Tee Jing Yi dan Sannatasah Saniru
(perseorangan wanita), Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei, Ng Hui Lin/Ng Hui Ern, Lee Meng
Yean/Lim Yin Loo dan Amelia Alicia Anscelly/Fie Cho Soong (beregu wanita) serta Tan Aik
Quan/Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran.
Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi sebarang gelaran pada Kejohanan Dunia yang
mula diperkenalkan pada 1977 di Malmo, Sweden. — BERNAMA