Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

China rampas Piala Thomas

PASUKAN China meraikan kemenangan Li Junhui dan Liu Yuchen selepas menewaskan pemain Jepun , Keigo Sonoda dan Yuta Watanabe di pelawanan akhir piala Thomas pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok. – Foto Mohd Yusni Ariffin

 

BANGKOK: Selepas menunggu selama enam tahun, skuad lelaki China berjaya merampas semula Piala Thomas apabila menang 3-1 ke atas Jepun di final yang berlangsung sebentar tadi.

Lebih menarik, mereka melakukannya tanpa bantuan juara dunia lima kali, Lin Dan yang tidak turut sejak China melepasi peringkat kumpulan minggu lalu.

China yang dibimbing jurulatih, Xia Xuanze selepas ketiadaan Li Yongbo tahun lalu, melenyapkan segala kritikan yang semakin hangat kedengaran sejak gagal melangkah ke final dalam dua edisi sebelum ini.

Gelaran kali ini adalah yang ke-10 buat China sejak kali pertama memenanginya pada 1982 di London.

“Kemenangan ini sangat melegakan kami semua… kami seolah-olah mahu merayakannya dengan segelas minuman ketika ini juga,” kata Xuanze selepas perlawanan.

“Kami dikritik hebat oleh media sejak beberapa tahun lalu dan justeru, kejayaan ini adalah sangat hebat buat kami.

“Jepun memang bagus tetapi pemain kami juga bertindak cemerlang untuk membolehkan kami menjuarai edisi kali ini,” kata Xuanze yang mengesahkan bahawa Lin Dan memainkan peranan kecil pada tahun ini.

“Lin Dan mungkin tidak bermain tetapi dia masih lagi anggota pasukan kami. Dia tidak akan bersara dalam masa terdekat ini dan akan terus bermain di China.”

Di final Piala Thomas, Jepun yang juga juara edisi 2014, mendahului menerusi bekas pemain nombor dua dunia, Kento Momota yang menundukkan juara Olimpik, Chen Long 21-9, 21-18.

China bangkit menyamakan kedudukan menerusi gandingan Liu Cheng-Zhang Nan yang mengalahkan Takuto Inoue-Yuki Kaneko 21-10, 21-18.

Pemain perseorangan ketiga, Shi Yuqi meletakkan China di depan menerusi kemenangan 21-12, 21-17 ke atas Kenta Nishimoto.

Harapan Jepun bergantung kepada beregu kedua, Keigo Sonoda-Yuta Watanabe tetapi tanggungjawab itu kelihatan terlalu berat untuk dipikul gandingan berkenaan.

Beregu nombor empat dunia, Li Junhui-Liu Yuchen memberikan kemenangan mutlak buat China apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 17-21, 21-19, 22-20.

Semalam, Jepun muncul juara Piala Uber selepas mengalahkan tuan rumah, Thailand 3-0 di final yang berlangsung di Arena IMPACT di Muang Thong Thani.

Keputusan Piala Thomas:

Perseorangan lelaki: Kento Momota (Jpn) kln Chen Long (Chn) 21-9, 21-18; Beregu: Liu Cheng-Zhang Nan (Chn) kln Takuto Inoue-Yuki Kaneko (Jpn) 21-10, 21-18; Perseorangan lelaki kedua: Shi Yuqi (Chn) kln Kenta Nishimoto (Jpn) 21-12, 21-17: Beregu kedua: Li Junhui-Liu Yuchen (Chn) kln Keigo Sonoda-Yuta Watanabe (Jpn) 17-21, 21-19, 22-20. – BH ONLINE

PEGAWAI dan pemain pasukan China bergambar bersama selepas muncul juara piala Thomas pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok. – Foto Mohd Yusni Ariffin

Komen


Berita Berkaitan