Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,696

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ceroboh Lahad Datu: 9 Pengganas Dipenjara Seumur Hidup

3:45pm 26/07/2016 Pak Roshan 2771 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar fail

gambar fail

KOTA KINABALU – Sembilan tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu terselamat daripada tali gantung dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Mahkamah Tinggi Stephen Chung menjatuhi hukuman itu hari ini terhadap warga Filipina Atik Hussin Abu Bakar, 45; Basad H. Manuel, 41; Ismail Yasin, 76; Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52; Salib Akhmad Emali, 63; Al Wazir Osman, 61; Tani Lahaddahi, 63; Julham Rashid, 69; dan Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53.

Pertuduhan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan ini memperuntukkan hukuman mati.

Dalam penghakimannya, Chung berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti bahawa mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Beliau menegaskan orang paling utama dalam kes pencerobohan itu seperti Datu Agbimuddin Kiram dan ‘Jeneral Musa’ tidak dibawa ke muka pengadilan.

“Bukanlah tugas yang menyenangkan untuk menjatuhi hukuman sewajarnya terhadap tertuduh yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan ini menjejaskan dengan teruk kehidupan penduduk Kampung Tanduo dan mereka yang tinggal di kampung berhampiran, selain kaum keluarga anggota keselamatan yang terkorban,” katanya.

Chung turut menjatuhi hukuman penjara 18 tahun masing-masing terhadap Salib Akhmad, Al Wazir, Tani, Julham dan Datu Amir atas pertuduhan kedua menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, manakala empat orang lagi – Atik Hussin, Basad, Ismail dan Virgilio – yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 13 tahun.

Hakim memerintahkan supaya hukuman penjara berjalan serentak dengan kesalahan pertama bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Turut disabitkan kesalahan menganggotai kumpulan pengganas ialah Timhar Hadil, 39, dan seorang rakyat tempatan Abd Hadi Mawan, 52, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan diperintahkan supaya menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Chung turut mempertimbangkan pengakuan bersalah oleh warga Filipina Lin Mad Salleh, 50; Holland Kalbi, 50; dan Aiman Radie, 20, bagi kesalahan sama dan memerintahkan mereka masing-masing menjalani hukuman penjara 13 tahun bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Kesalahan menjadi anggota kumpulan pengganas tertakluk di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

Dua lagi rakyat tempatan dalam kes itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Pabblo Alie, 66, mengaku bersalah mencari harta bagi manfaat sebuah kumpulan pengganas atau bagi berlakunya sesuatu perbuatan pengganas, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 130G (c) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun jika disabitkan kesalahan.

Mohammad Ali Ahmad, 41, juga mengaku bersalah mencari atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan, yang juga membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan