Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,689

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

CEO puas hati pelaksanaan bengkel SOP kawasan larangan di ESSZONE

3:43pm 26/08/2016 Leolerry Lajius 36 views Kota Kinabalu,Tempatan

KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Noor Alam Khan A. Wahid Khan berpuashati dengan pengurusan dan pelaksanaan bengkel SOP kawasan larangan di ESSZONE yang berakhir di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan bengkel yang berlangsung selama tiga hari sejak 24 Ogos itu penting bagi memastikan semua gerak kerja, peraturan-peraturan dan undang-undang setiap agensi dapat digabung jalin dan disesuaikan dengan peraturan-peraturan kawasan larangan bagi menghasilkan satu SOP yang boleh dilaksanakan oleh semua agensi keselamatan dan penguatkuasa.

“ESSCOM perlu menghasilkan satu SOP yang terselaras yang boleh diguna pakai oleh semua agensi yang terlibat dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang di kawasan larangan ini”.

“Walaupun pada peringkat permulaan tuan-tuan menghadapi cabaran dalam menyediakan deraf ini, namun berkat kerjasama dan kesungguhan tuan-tuan, maka kita telah berjaya menyediakan satu garis panduan yang boleh dijadikan sebagai rujukan semua agensi dan individu yang akan diberi kuasa untuk memantau dan menguatkuasakan undang-uandang di kawasan ini termasuk penglibatan masyarakat setempat”, katanya.

Noor Alam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan bengkel Prosedur Tetap Operasi (SOP) Kawasan Larangan 11 Pulau dan 2 Terumbu Daerah Semporna, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.

Turut hadir Ketua Staf Penguatkuasaan Maritim ESSCOM Laksma (M) Kamaruszaman Abu Hassan, Pengarah Bahagian Tindakan Awam Rohiman Rahia, Pegawai Daerah Semporna Dr. Chacho Hj Bullah dan Ketua Polis Daerah Semporna Supt. Peter ak Umbuas.

Noor Alam merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam bengkel ini dan berharap agar kerjasama dan sokongan seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

“Tanpa penglibatan dan kerjasama daripada semua agensi yang terlibat sudah tentu ESSCOM akan menghadapi kesukaran dalam menyediakan SOP yang boleh digunakan pakai oleh semua pihak yang terlibat termasuk penduduk tempatan yang sudah menetap di kawasan berkenaan”.

“Kita akan susuli SOP ini dengan satu siri perbincangan yang menyeluruh sebelum ianya dibentangkan kepada stakeholder ESSCOM termasuk Pengerusi ESSZONE (Ketua Menteri Sabah) untuk dijadikan sebagai garis panduan lengkap dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di kawasan larangan”.

“Saya berharap SOP ini akan menjadi panduan yang lebih menyeluruh kepada kita dalam memberi kefahaman kepada masyarakat setempat agar mengetahui peranan dan tanggungjawab mereka selaras dengan kehendak kerajaan”, katanya.-SayangSabah

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Noor Alam Khan A. Wahid Khan (tengah).

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Noor Alam Khan A. Wahid Khan (tengah).

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan