Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

CBP TERBAIK UNTUK NEGARA DAN RAKYAT – PERSATUAN PENJAJA SABAH

gst

KOTA KINABALU, 14 Jan : Sistem percukaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang bakal dilaksanakan pada 1 April tahun ini adalah sistem percukaian terbaik untuk negara dan rakyat, kata Yang Dipertua Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah Noor Taip Suhaili.

Melalui CBP, kata Noor Taip, pendapatan kerajaan akan bertambah dan boleh digunakan untuk memaju dan membangunkan negara demi kemakmuran serta kesejahteraan semua lapisan rakyat.

“CBP adalah dasar terbaik negara dan patut dipatuhi dan dilaksanakan mengikut jadual. Bagi kami di persatuan, kami amat mengalu-alukan pelaksanaannya. Kami akan memberi kerjasama terbaik kepada agensi berkaitan untuk pastikan CBP dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Agensi berkaitan mesti tegas dalam melaksanakan dan menguatkuasakan CBP. Tidak ada kompromi. Sistem percukaian ini sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi. Sistem ini tidak ada kerumitan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Noor Taip semua lapisan rakyat, terutama golongan peniaga, tidak patut mementingkan diri dengan mencari pelbagai helah untuk mengelak daripada membayar cukai seperti ditetapkan kerajaan.

Kata Noor Taip sebagai rakyat Malaysia, tanggungjawab membayar cukai mesti dipatuhi kerana itulah bentuk dan cara rakyat untuk menyumbang balik sebahagian kekayaan yang mereka peroleh untuk pembangunan negara.

Justeru beliau meminta kerajaan supaya tidak berganjak daripada pendirian untuk melaksanakan CBP seperti dijadualkan serta tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan dan mengeksploitasi isu CPB bagi kepentingan sendiri.

“Mereka ini (yang menolak CBP) cuma memikirkan tentang kuasa dan bukan untuk membela rakyat. Kita tidak mahu mencampuri urusan politik mereka. Tetapi rakyat harus tahu menilai dasar-dasar yang baik untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Usahawan Bumiputera Sabah Mohammad Zikrun berkata CBP akan berhasil jika penggiat industri bekerjasama untuk melaksanakannya dan tidak menjadi pengelak cukai yang tegar.

Katanya setiap penggiat industri termasuk di negeri ini harus terlebih dahulu memahami mekanisme dan manfaat yang boleh diperoleh menerusi sistem CBP sebelum mendakwa kononnya regim percukaian ini merugikan mereka.

“Beberapa taklimat CBP yang disertai banyak memperluas pengetahuan saya berhubung pentingnya satu sistem percukaian tersusun dan efisien yang pada akhirnya bermanfaat untuk negara dan industri itu sendiri.

“Apabila aliran ekonomi negara berada pada tahap memberangsangkan sudah pasti aktiviti perniagaan bertambah rancak sekali gus penggiat industri berpeluang memperbesar potensi perniagaan mereka,” katanya.

Mohammad berkata pematuhan cukai daripada penggiat industri adalah penting kerana hasil kutipan cukai ini akan digunakan untuk pembangunan demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Di TAWAU, Presiden Persatuan Kemasyarakatan Melayu Tawau Kee Mohd Ayub Kee Abu Bakar berkata tidak wajar pihak pembangkang meminta pelaksanaan CBP ditangguhkan kerana CBP telah dibincang serta dikaji secara halus oleh kerajaan.

Beliau berkata pendedahan atau penerangan tentang CBP juga telah dibuat kepada semua peringkat masyarakat sama ada melalui ceramah, radio dan akhbar.

“Oleh itu tindakan pembangkang untuk meminta pelaksanaan CBP itu ditangguhkan adalah semata-mata untuk kepentingan politik mereka sahaja dan jauh sekali untuk membela rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga berkata masyarakat perlu menerima keputusan kerajaan untuk melaksanakan CPB demi kebaikan masa depan negara.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan