Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Cat’s Village Mesilou bela 141 ekor kucing jalanan

Junaidah membela Arjuna, kucing berkaki tiga yang telah diselamatkan dari kecederaan yang teruk semasa diambil dari jalanan.

KUNDASANG – Seluruh keluarga berkongsi minat yang sama dengan memelihara kucing menjadi pencetus idea kepada Junaidah Joutin, 43 untuk mendirikan Cats Village Mesilou yang terletak di Jalan Tudan, di sini.

Menurut Junaidah, sebelum wujudnya Cats Village Mesilou tersebut, mereka sekeluarga telah memelihara sebanyak 20 ekor kucing kampung yang kebanyakannya di pungut dari kaki lima dan pasar.

“Kami sememangnya memelihara banyak kucing sebelum ini, tetapi selepas kejadian gempa yang berlaku di sini, setiap kali hujan turun dan berlaku banjir kami akan tidur di dalam kereta dengan membawa bersama anak-anak kucing.

“Sebelum ini apabila banjir berlaku, jalan raya telah runtuh hingga kami terpaksa berjalan kaki untuk keluar ke jalan utama.

“Kucing-kucing dewasa pula terpaksa di tinggalkan di rumah dan kami akan kembali sebentar untuk memastikan makanan mereka sentiasa cukup,”ujar Junaidah yang juga merupakan guru di SK Mesilou.

Tambahnya, atas kesukaran yang mereka hadapi, banyak anak kucing yang terpaksa diberi kepada rakan-rakan manakala kucing dewasa pula berkurangan dan menghilang kerana sering ditinggalkan.

Setelah keadaan kembali reda, anaknya mula memujuk untuk membeli kucing baka parsi. Tetapi memandangkan hidung anaknya yang sensitif, Junaidah telah menyediakan sebuah bilik khas untuk kucing.

“Bilangan kucing kembali bertambah apabila anak sering membawa balik kucing jalanan dan saya sendiri juga sering membawa balik kucing yang terbiar di sekolah hingga meningkat menjadi 60 ekor.

“Saya kasihan melihat kucing yang terbiar di jalanan tidak terurus, terutama sekali yang kami lihat sakit, kami akan segera rawat.

“Ada juga yang telefon ingin memberi kucing mereka dalam jagaan kami tapi kami letakkan syarat iaitu kucing-kucing tersebut wajib dikembiri dan di vaksin,”katanya.

Rumah yang dibina di atas tanah lot yang dibelinya lapan tahun lepas itu diubahsuai sedikit demi sedikit menggunakan pendapatnya sebagai guru demi keselesaan keluarga dan kucing-kucing peliharaan mereka.

“Pada mulanya, ubahsuai saya buat untuk dijadikan tempat bermain pada waktu petang.

“Bila kucing semakin bertambah, anak saya mencadangkan untuk dibuka Cats Village supaya dapat mengurangkan perbelanjaan untuk makanan dan ubatan hasil daripada pungutan yuran.

“Ada juga suami isteri penyelamat kucing yang datang ke sini membawa makanan dan ubatan dan ada kalanya membantu kami mengurus kucing-kucing di sini,”ujar Junaidah.

Keluarga Cat’s Village Mesilou yang mengurus sendiri kediaman ini.

Memandangkan kucing jagaannya sekarang menjangkau 141 ekor yang terdiri daripada lima jenis baka seperti bengal, parsi, maincoon, siam dan kucing kampung maka tips-tips penjagaan kucing banyak dipelajarinya melalui carian google dan perkongsian bersama rakan-rakan pencinta kucing di laman facebook Borneo Catlover Community (BCC).

Setelah dua bulan beroperasi, hampir 2000 orang pengunjung yang datang menziarahi kucing-kucing jagaannya di sini.

“Masih ramai yang hubungi saya untuk menghantar kucing mereka, tetapi kami di sini lebih mengutamakan kucing jalanan.

“Kami juga akan buka ruang pada yang berminat untuk memelihara kucing-kucing di sini dijangka pada penghujung tahun.

“tetapi kami akan beri kucing yang suda di vaksin dan di kembiri sahaja sebab risau jika mereka membiak nanti akan dibuang semula di sini,”katanya.

Jelas Junaidah, kos untuk vaksin dan kembiri kucing-kucing itu akan dilakukan menggunakan dana daripada yuran yang dikenakan kepada pengunjung. Bakal pemilik yang berminat nanti boleh membayar semula kos yang telah dikeluarkan sama ada dalam bentuk wang, makanan atau ubatan kepada Cats Village Mesilou.

Harapan Junaidah juga kepada pencinta kucing agar lebih memberi perhatian kepada kucing jalanan kerana jenis sebegini lah yang sebenarnya lebih memerlukan perhatian dan jagaan yang rapi.

Dalam pada itu, pengunjung Mohamad Hanif Jamudi, 22 sanggup berjalan kaki untuk ke Cats Village Mesilou kerana keadaan jalan masuk yang tidak sempurna dan tidak sesuai dengan kenderaan yang mereka gunakan.

Dia turut memuji inisiatif pemilik yang membuka premis tersebut dan memelihara kucing jalanan serta menjaga kebajikan mereka.

“Saya berpendapat untuk menggalakkan masyarakat lebih terbuka untuk menyayangi kucing jalanan adalah dengan cara membuka klinik seumpama Klinik 1 Malaysia yang dapat menawarkan rawatan yang rendah untuk kucing,

“jika klinik ini wujud masyarakat pasti lebih prihatin untuk menyelamatkan kkucing jalanan kerana kos rawatan yang rendah dan tidak membebankan,”katanya.

Sementara itu, menurut Siti Rosanabilla Abdullah, 27 dan rakannya Aisar Marajan, 27 klinik-klinik haiwan patut mengurangkan lagi kos rawatan haiwan kerana ada kalanya caj yang dikenakan tidak masuk akal dan mencapai ratusan ringgit.

“Pendapat kami, ada baiknya kucing tersebut di kembirikan jika anda tidak mampu untuk mejaga mereka dalam jumlah yang banyak, kerana jika dibiarkan membiak kemungkinan besar akan dibuang.

“Inisiatif pemilik Cats Village Mesilou membantu kucing jalanan juga sangat baik, dan jika jalan raya laluan untuk ke tempat ini dapat di naik taraf pasti lebih ramai lagi pengunjung dapat mengunjungi tempat ini yang sedia cantik dengan suasana yang semula jadi,”ujarnya./Unit MAMS, PENERANGAN

Mohammad Hanif (kiri) berkesempatan mengunjungi Cats Village semasa program lawatan belajar mereka di Kundasang.

Komen


Berita Berkaitan