Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Cari RM2 juta

7:01pm 19/10/2016 Pak Roshan 1415 views Mutakhir,Tawau,Tempatan
GUSTIA (dua dari kanan) melancarkan kutipan tabung untuk membantu mangsa yang diculik.

GUSTIA (dua dari kanan) melancarkan kutipan tabung untuk membantu mangsa yang diculik.

Tawau: Kumpulan bersenjata yang menculik lima rakyat Malaysia di perairan Dent Heaven, Lahad Datu, pada 18 Julai lalu, menurunkan jumlah wang tebusan daripada RM8.5 juta kepada RM2 juta sebagai syarat pembebasan semua mangsa.

Ia berdasarkan perbualan telefon antara kumpulan berkenaan yang dipercayai masih berada di Jolo, selatan Filipina, dengan seorang isteri mangsa, baru-baru ini.

Mangsa terdiri daripada Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau dan empat kru bot iaitu Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau, Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari FELDA Jengka 7, Maran, Pahang, Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau serta Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

Menurut isteri Tayudin, Gustia Sultan, 46, menerusi perbualan telefon itu, suaminya ada memberitahu berhubung tuntutan wang tebusan kumpulan penculik terbabit.

Katanya, seperti panggilan terdahulu, suami bertanyakan sama ada mereka akan diselamatkan kerana khuatir dengan tindakan kumpulan berkenaan.

Dia berkata, suaminya turut mengadu bahawa tawanan diseksa oleh anggota kumpulan itu.

“Panggilan terkini yang dibuat pada 12 Oktober lalu iaitu pada jam 4.18 petang. Suami bertanyakan mengenai wang tebusan yang kini sudah diturunkan iaitu sebanyak RM2 juta untuk mereka berlima.

“Mereka sudah tidak tahan diseksa dan berharap dapat dibebaskan dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sehubungan itu katanya, ahli keluarga mangsa sepakat menubuhkan Tabung Selamatkan Lima Mangsa Culik LD (Lahad Datu) untuk mengumpulkan wang tebusan bagi membebaskan lima lelaki berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil selepas mangsa diculik lebih tiga bulan lalu.

“Tabung itu sudah ditubuhkan sejak tiga minggu lalu dan baru dilancarkan semalam (kelmarin) berikutan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai yang masih ragu-ragu tujuan kutipan derma berkenaan.

“Kami melakukan kutipan di kawasan kampung sekitar Tawau dan setakat ini hanya berjaya mengumpulkan kira-kira RM3,600.

“Bagaimanapun, kami turut berjaya mendapat surat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan selepas kami bertemu dengan beliau pada Khamis lalu,” katanya.

Gustia berkata, dia berharap suami dan empat rakan yang lain dapat diselamatkan menerusi kutipan tabung berkenaan daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Bagi mereka yang ingin menderma boleh menghubungi saya di talian 0198076279 atau menerusi akaun RHB Bank bernombor 11003700272503,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, mangsa yang menaiki bot tunda yang menggunakan pendaftaran Surudong 3 diculik kumpulan bersenjata dipercayai kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Heaven. – myMetro Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan