Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Calon langsung bukan idea baik – UPKO

SETIAUSAHA Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin. – Foto fail NSTP

 

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyifatkan cadangan untuk meletakkan calon langsung Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan satu idea baik.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin, berkata langkah itu bertujuan menyelesaikan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen hanya akan merosakkan asas BN sebagai gabungan yang kukuh.

“BN terbukti sebagai sebuah parti politik gabungan yang berjaya. Ia kuat disebabkan kesepakatan yang wujud dalam kalangan pemimpin tertinggi setiap parti komponen dalam membuat keputusan, tanpa mengira parti itu kecil atau besar.

“Tindakan meletakkan calon langsung BN pada PRU Ke-14 hanya akan merosakkan asas kerjasama dalam BN. Ia akan mewujudkan gambaran yang salah terhadap BN,” katanya kepada BH, di sini.

Donald berkata tindakan meletakkan calon langsung BN boleh disalah anggap sebagai tanda perpecahan dalam BN, sekali gus boleh melemahkan kedudukan gabungan berkenaan dalam berdepan dengan dakyah pembangkang.

“Setiap parti komponen diberikan tanggungjawab dan kepercayaan untuk menangani kawasan masing-masing. Ahli parti pula akan akur tidak kira apa saja keputusan yang dibuat oleh parti.

“Majlis Tertinggi BN pula akan membuat keputusan kuota kerusi setiap parti komponen. Walaupun tidak dinafikan ada berlaku perasaan tidak puas hati dan kecewa yang tidak dapat dielak, sistem yang diamalkan terbukti berjaya. Jadi kenapa perlu tukar,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ada pihak yang mengatakan pendekatan meletakkan calon langsung BN menunjukkan kejayaan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu, namun pihak lain berpendapat ia tidak baik untuk perpaduan dalam BN.

Katanya, cadangan itu perlu dibincangkan dengan sebaik mungkin dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau tidak menolak kemungkinan BN mengguna pakai kaedah calon langsung BN bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen pada PRU-14.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik penentuan kerusi dilakukan menerusi semangat kesepakatan antara parti komponen sebelum sebarang keputusan dibuat. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan