Calon BN bagi Parlimen Semporna, Datuk Ramli Marahaban berkata, parti itu sudah bersedia sepenuhnya sejak dulu lagi memandangkan Semporna telah menjadi deposit tetap BN dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

“Jentera kami sudah ada sejak dulu lagi kerana ini adalah kawasan BN dan berdasarkan segala kerja keras kami selama ini, saya yakin BN kekal menang di sini.

“Kalau orang kata Semporna menang mudah kepada Warisan itu tidak betul kerana UMNO dan BN adalah asas kekuatan rakyat di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas proses penamaan calon PRU-14 di Dewan Masyarakat Semporna di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pertandi­ngan empat penjuru di Parlimen Semporna antara Ramli, Presi­den Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Asmara Asmad (Parti Harapan Rakyat Sabah) dan calon Pas, Abdul Nasir Abdil Raub.

Sementara itu, satu kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di situ, iaitu DUN Sena­llang menyaksikan per­tembungan satu lawan satu antara Mohd. Shafie dengan sepupunya da­ripada BN, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Nasir ketika ditemui di pekarangan pusat penamaan calon itu berkata, sebagai pe­nyandang, beliau tahu kekuatan BN justeru bersedia menumbangkan Mohd. Shafie pada 9 Mei depan.

“Saya tahu kawasan itu, kerana di situlah BN telah bekerja kuat selama ini jadi bila-bila masa pun BN bersedia menyahut cabaran Warisan.

“Rakyat pasti masih mahu BN kerana hanya parti ini yang mampu membantu dan membawa perubahan kepada rakyat,” ujarnya.

Satu lagi kerusi di situ iaitu DUN Sulabayan melibatkan pertarungan empat penjuru antara calon BN, Datuk Harman Mohamad; calon Warisan, Datuk Jaujan Sambakong; Utung Tanjong Baru (Parti Harapan Rakyat Sabah) dan Abdul Nasir Abdul Raub daripada Pas.

Dalam pada itu, di DUN Bugaya, calon BN, Datuk Razak Tun Sakaran akan ditentang lima calon lain iaitu Manis Muka Mohd. Dara (Warisan), Mahamod Sarahil (Pas), Kuli Maralanh (Parti Kebangsaan Sabah), Abdul Mukain Hassan (Bebas) dan Mohd. Said Tiblan (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Sumber : www.utusan.com.my