Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Caj Penumpang Domestik RM1.50 Bagi Perjalanan Menumbok-Labuan Dikekalkan

9:23am 06/11/2015 Pak Roshan 316 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan

feri labuan

LABUAN : Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Labuan tidak bercadang menghapuskan caj penumpang domestik sebanyak RM1.50 yang dikenakan bagi setiap penumpang yang membuat perjalanan dari Menumbok, Sabah, ke pulau Labuan.

Pengarahnya, Kapt Abel Ongkunik berkata caj itu, yang dikenali sebagai “Caj Penumpang (Domestik)”, terkandung dalam Peraturan-peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Dermaga Kerajaan) 2008 dalam Jadual Pertama Subseksyen 4(b) bagi setiap penumpang yang menaiki kapal bagi sesuatu pelayaran domestik.

“Dengan penjelasan ini, jabatan ini tidak berhasrat menghapuskan caj tersebut,” katanya kepada Bernama Khamis.

Abel berkata “tiket feri penumpang” sebenarnya adalah “tiket tambang” yang dibayar bagi perkhidmatan pengangkutan dari Menumbok ke Labuan yang dikendalikan penyedia perkhidmatan itu, manakala “Caj Penumpang” adalah bagi penggunaan kemudahan di terminal dan jeti untuk tujuan menaiki feri ro-ro dan bot laju penumpang.

Katanya, selain caj penumpang, terdapat juga caj bagi memuat dan menurunkan barang, kargo dan ternakan, tetapi caj ini dikenali sebagai Cukai Pendaratan dan Perkapalan mengikut kategori masing-masing dalam Jadual Pertama Subseksyen 3(1), Peraturan-peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Dermaga Kerajaan) 2008.

“Caj Penumpang’ dikuatkuasakan dan mula dikutip pada 1 Jun 2009.

“Sekarang, caj ini menyumbang sedikit hasil kepada Kerajaan Negeri Sabah, khususnya bagi tujuan menyenggara kemudahan di kawasan terminal (termasuk bangunan terminal, jeti, ramp pendaratan, ruang letak kenderaan dan sebagainya) bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik dan memberi keselesaan kepada penumpang atau pengguna.

“Caj ini bukan perkara baharu. Sebagai contoh, caj RM3 dikenakan Jesselton Point Jetty di Kawasan Pelabuhan Kota Kinabalu, begitu juga halnya dengan Majlis Daerah Semporna, yang mengenakan caj RM2 bagi menurunkan penumpang di jeti itu,” katanya.

Tinjauan rambang Bernama di terminal Menumbok mendapati jabatan itu telah memberi wajah baharu kepada terminal berkenaan serta menambah baik kemudahannya termasuk pembinaan ruang letak kenderaan oleh Majlis Daerah Kuala Penyu.

Kerja penambahbaikan dan menaik taraf ini yang melibatkan kos kira-kira RM6 juta.

Penumpang feri dan parti politik di sini menyuarakan sungutan mereka tentang caj berkenaan, yang mereka anggap menjadi beban kepada penumpang dan mencadangkan agar ia dihapuskan memandangkan Jabatan Laut Persekutuan di Labuan tidak mengenakan caj seperti itu.

Lebih 1,000 orang menggunakan terminal dan jeti itu setiap hari bagi perjalanan Menumbok-Labuan-Menumbok dengan menggunakan tiga feri dan bot laju.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan