Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Cadangan Risda Untuk Penanaman Ketum Ditolak

4:43pm 04/08/2016 Pak Roshan 79 views Isu Semasa,Mutakhir

Ketum-2

PUTRAJAYA – Cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk membenarkan pekebun kecil menanam ketum ditolak, demikian umum Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata ia diputuskan selepas pihaknya mendengar taklimat daripada Risda berkenaan cadangan berkenaan dari segi kebaikan dan keburukan hasil daripada penanaman pokok itu.

“Kita dapati keburukan atau kesan negatif daripada penanaman ketum adalah lebih besar daripada faedah dan jika diteruskan ia akan membawa lebih banyak kesan sosial dan implikasi buruk kepada masyarakat.

“Berikutan itu, kementerian memutuskan untuk tidak menerima cadangan Risda walaupun penanamannya dikatakan untuk tujuan eksport, boleh membawa keutungan dan memberi tambahan pendapatan kepada pekebun kecil,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada Risda berkenaan ketum di kementeriannya di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah Risda Mohd Najib A Samad.

Keputusan itu turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri serta kerajaan negeri termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yang jelas menolak cadangan itu, katanya.

Isu ketum memuncak apabila Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin dilaporkan berkata pihaknya akan mendapatkan kebenaran kerajaan untuk menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah.

Ditanya mengenai perkara positif daripada penanaman ketum yang dibentangkan Risda, Ismail Sabri berkata keuntungan merupakan satu-satunya kebaikan yang disebut dengan Risda menganggarkan pendapatan daripada jualan ketum boleh mencecah RM22,800 sebulan untuk satu hektar tanaman.

Beliau berkata usaha menambah pendapatan pekebun kecil akan diteruskan dengan memperbanyak tanaman sampingan di kebun seperti cili dan cendawan selain memperkasakan program-program keusahawanan sedia ada.

“Jadi, saya harap isu ini dihentikan kerana Risda tidak akan terlibat dengan program tanaman ketum untuk penambahan pendapatan pekebun,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan