Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Cadangan penyelesaian masalah air di Kuala Penyu, Menumbuk

Peter (kanan) ketika melawat loji air di kawasan berkenaan. -Gambar Oleh Alex Mairin

 

KOTA KINABALU, 4 Julai – Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah telah mencadangkan beberapa langkah kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah isu bekalan air di Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbuk yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata masalah air di kawasan berkenaan berpunca daripada tekanan air rendah kerana kawasan berkenaan terletak di hujung sistem bekalan air.

“Kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi di kawasan itu juga berpunca daripada keadaan paip lama yang kerap bocor dan kekerapan kerosakan pam dan motor di stesen pam penggalak termasuk kebocoran tangki khidmat sedia ada.”

“Oleh itu, kementerian telah mencadangkan beberapa penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah itu kepada jemaah menteri,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Limus bertanya mengenai langkah drastik kerajaan untuk mengatasi masalah air di kawasan berkenaan yang telah berlarutan sejak lama dan gagal ditangani kerajaan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Peter berkata untuk penyelesaian jangka pendek, kementeriannya mencadangkan pelaksanaan projek menaik taraf liputan air di Kuala Penyu meliputi Kampung (Kg) Kayul, Kg Darat, Kg Palu-Palu dan Kg Berangkok dengan anggaran kos sebanyak RM22.51 juta.

“Ini termasuk penyediaan pam-pam air baharu sebagai ‘pam tunggu sedia’ untuk memastikan operasi bekalan tidak terganggu serta berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata untuk penyelesaian jangka panjang pula, kementeriannya mencadangkan pelaksanaan beberapa projek termasuk menggantikan paip-paip lama yang kerap bocor dan sukar dikesan dan cadangan ini telah disenaraikan dalam kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan anggaran kos sebanyak RM22.2 juta.

“Selain itu kita telah mencadangkan projek menaik taraf sistem bekalan air di Kuala Penyu dengan anggaran kos sebanyak RM75.97 juta yang telah pun diluluskan dalam pelan pusingan ketiga 2018. Pada masa ini pelantikan juru perunding untuk kajian dan reka bentuk sedang dalam pertimbangan oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya.

Peter berkata dengan pelaksanaan projek-projek jangka panjang dan pendek yang telah dicadangkan, maka masalah bekalan air di daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbuk dapat diatasi dengan lebih efektif dan menyeluruh.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan