Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

CADANGAN PEMANSUHAN SOSMA: KERAJAAN JAMIN NEGARA KEKAL AMAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan jaminan bahawa pindaan atau pemansuhan terhadap undang-undang berkaitan Keselamatan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan menjejaskan usaha kerajaan dalam memelihara keselamatan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, jaminan keselamatan itu merangkumi aspek keselamatan daripada ancaman kumpulan pengganas, rusuhan dan hasutan.

“Memandangkan kajian tersebut masih dijalankan, kerajaan belum memutuskan sama ada undang-undang tersebut perlu dipinda atau dimansuhkan atau undang-undang yang baru perlu diwujudkan.

“Jika ada undang-undang yang akan dimansuhkan sekalipun, kerajaan yakin dengan keupayaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan lain dalam menangani ancaman keselamatan menggunakan undang-undang sedia ada,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Senator Khairul Azwan Harun mengenai langkah kerajaan untuk memastikan keamanan serta keselamatan rakyat terjamin daripada rusuhan dan keganasan memandangkan SOSMA akan dihapuskan.

Dalam pada itu, Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menambah, satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pihak berkaitan seperti PDRM, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan badan bukan kerajaan telah ditubuhkan.

Beliau memberitahu, jawatankuasa khas itu ditubuhkan bertujuan menilai dan memperhalusi setiap peruntukan dalam undang-undang berkenaan dengan terperinci. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan