Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Cadangan Agar Pesta Panawari Dimasukkan Dalam Kalendar Pelancongan Sabah

6:06pm 19/05/2017 Pak Roshan 231 views Keningau,Mutakhir,Tempatan

Fredian bersama AJK pelaksana program Panawara 2016. – foto Kalawon Sawing

NABAWAN, 19 Mei : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup akan mencadangkan kepada kerajaan supaya Pesta Panawari atau pesta sukan tradisional suku kaum Murut dimasukkan dalam kalendar pelancongan.

Bagaimanapun, kajian terperinci perlu dibuat terlebih dahulu untuk memastikan bagaimana pesta itu benar-benar berkesan dalam menggamit kedatangan pelancong, katanya selepas merasmikan Pesta Panawari 2017 di sini hari ini.

Panawari merupakan pesta sukan tradisional suku kaum Murut yang dianjurkan setiap awal Januari sejak penjajahan kolonial di Sabah tetapi dihentikan sebaik negara mencapai kemerdekaan.

Nabawan merupakan daerah pertama di Sabah yang menghidupkan semula sambutan pesta itu sejak tiga tahun lalu, dan kali ini penganjurannya diselaraskan pada bulan Mei iaitu bersempena sambutan Pesta Kaamatan.

Kira-kira 5,000 pengunjung menghadiri pesta itu untuk menyaksikan persembahan 30 jenis sukan tradisi suku kaum Murut.

Kurup berkata inisiatif oleh Pejabat Daerah Nabawan untuk menganjurkan semula pesta itu bagi kali ketiga, merupakan langkah positif untuk menghidupkan semula sukan-sukan tradisi suku kaum itu yang semakin dilupakan oleh generasi muda kaum itu.

“Usaha menghidupkan semula pesta ini amat tepat, bukan sahaja berjaya menghimpunkan semua rakyat, tetapi ia juga merupakan wadah untuk memperkasakan perpaduan sedia ada di kalangan rakyat berbilang kaum di daerah Nabawan,” katanya.

Kurup, yang merupakan Anggota Parlimen Pensiangan, berkata pesta itu memberi peluang kepada generasi muda untuk melihat dan mempelajari sukan tradisi suku kaum itu dipersembahkan di khalayak umum, selain sebagai wadah untuk bertukar-tukar pengetahuan mengenai pencapaian dalam bidang pertanian.

“Di sini anda boleh mempelajari sesuatu yang baharu untuk dikembangkan di tempat masing-masing,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan