Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,689

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Buru Hakan Sukur

9:31am 13/08/2016 Pak Roshan 1172 views Global
HAKAN

HAKAN

Istanbul: Turki mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas bintang bola sepaknya Hakan Sukur berkaitan dengan siasatannya terhadap cubaan rampasan kuasa bulan lalu.

Pendakwa di wilayah Sakarya di timur Istanbul mendakwa Hakan anggota organisasi ulama dalam buangan, Fethullah Gulen yang didakwa dalang di sebalik kudeta itu.

Dia diburu atas tuduhan ‘menganggotai kumpulan pengganas bersenjata’ yang digelar Ankara sebagai Organisasi Keganasan Fethullah (FETO), lapor agensi berita Anadolu.

Fethullah menafikan kewujudan kumpulan itu dan menolak dakwaan mengenai pembabitannya.

Waran tangkap bagi tuduhan sama turut dikeluarkan terhadap ayah Hakan, Selmet, kata Anadolu.

Hakan dan Selmet tidak ditemui di kediaman mereka di Istanbul dan Sakarya, malah bekas atlet itu dilaporkan meninggalkan Turki tahun lalu bersama keluarganya.

Agensi berita Dogan melaporkan, kedua-dua premis berkenaan diserbu dan diperiksa polis.

Bekas penyerang itu dipercayai kini berada di Amerika Syarikat dan media Turki melaporkan, notis Interpol akan dikeluarkan untuk memohon dia diekstradisi.

Hakan antara pemain paling terkenal Turki dengan kerjaya bola sepak dari 1987 sehingga 2007 termasuk mewakili negara itu dalam Piala Dunia 2002.

Gol dijaringkannya dalam perlawanan terhadap Korea Selatan selepas cuma 11 saat masih direkodkan sebagai yang terpantas dalam sejarah Piala Dunia.

Dia kemudian memasuki bidang politik dan dilantik sebagai ahli Parlimen dengan parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Bagaimanapun, dia meletak jawatan pada 2013 selepas siasatan rasuah meluas yang menyasarkan pemimpin itu dan menyuarakan sokongannya untuk Fethullah termasuk membantah tindakan kerajaan menutup sekolah dijalankan pergerakan ulama itu, Hizmet.

Dia turut dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadirannya) Jun lalu atas tuduhan menghina Erdogan di media sosial. – AFP/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan