Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Burger Hipster antara tarikan hari terbuka Politeknik KK

​Nur Hafizah Dillah​ di gerai jualannya.​

SEPANGGAR: Kepelbagaian warna pada burger hipster yang dijual di gerai makanan sempena Hari Terbuka Politeknik Kota Kinabalu (PKK) menjadi daya penarik kepada orang ramai yang berkunjung di sana sejak semalam.

Menurut peniaga, Nur Hafizah Dillah, 31 permintaan untuk burger hipster amat menggalakkan sejak beliau mula memberanikan diri menjualnya beberapa bulan lepas.

“Saya memulakan perniagaan saya pada awal tahun ini dengan berniaga kopi hipster dan bila saya dapat tahu ada pembuat roti yang membekalkan roti burger pelbagai warna, saya tertarik untuk menjualnya untuk digandingkan dengan kopi saya,” katanya.

Beliau banyak menerima respon positif daripada pelanggan yang memuji keunikan dan kesedapan burger tersebut hingga ada yang berasa berat hati untuk makan kerana warnanya yang cantik.

“Selain warna bun yang cantik, rasa daging burger buatan sendiri itu juga turut bantu melariskan jualan saya hasil daripada beberapa kali eksperimen sehingga mendapat rasa yang tepat,”katanya.

Kata Nur Hafizah, berniaga burger merupakan satu platform untuk kita melangkah satu langkah kehadapan, tapi ia hanya akan membantu jika seorang peniaga itu berani.

“Idea dan yang paling penting usaha pada saya sangat membantu terutamanya golongan bumiputra lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar ni,”ujarnya.

Wangian roti menyambut kehadiran penulis apabila melangkah kaki ke rumah seorang lagi pengusaha roti hipster iaitu Siti Mariam Umar, 32.

Mariam dan suami mengusahakan perniagaan itu sejak 2014 hasil pengamatan ketika bekerja di kedai roti di sekitar Kolombong selama lebih 10 tahun.

“Saya belajar membuat roti, menggunakan peralatan dan segala-galanya pada ketika itu hingga yakin mampu mengusahakan roti keluaran sendiri,”katanya.

Bermula dengan membuat roti manis, pelanggan turut meminta Mariam untuk membuat roti bun hinggalah beliau membuat inovasi dengan mengeluarkan roti hipster pelbagai warna.

“Bukan mudah untuk mendapatkan resepi yang tepat, hampir 25 kilogram tepung saya gunakan untuk membuat eksperimen demi eksperimen untuk mendapatkan kualiti yang betul-betul memuaskan hati saya,”katanya.

Menurutnya, kuantiti gula perlu dikurangkan semasa membuat roti berwarna supaya warna roti kekal cantik dan gula tidak terkaramel, manakala pewarna pula menggunakan gred makanan yang dibenarkan serta dijamin halal.

Setakat ini terdapat enam warna pilihan roti buatannya iaitu warna asli coklat, merah, ungu, biru, merah jambu, ungu dan hitam.

“Memang pelbagai respon yang kami terima mengenai roti kami, kerana ada penjual yang tidak berani untuk mencuba sesuatu kelainan dan lebih selesa dengan warna asli coklat.

“Oleh sebab itulah, saya hanya membuat roti ini dua minggu sekali berdasarkan permintaan dan peniaga biasanya akan datang untuk mengambil stok pada sebelah petang untuk menjamin kesegaran roti,”katanya.

Mariam juga bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian yang menyumbangkan pengadun tepung dan meja dapur selain mengadakan kursus-kursus berkaitan roti.

“Saya juga pernah memohon bantuan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk membesarkan perniagaan kami tetapi tidak cukup syarat yang ditetapkan kerana kami tidak mempunyai premis,”jelasnya.

Dengan itu, Mariam dan suami merancang untuk menggunakan rumah dan tanah milik suaminya yang ada di Papar sebagai kilang baru menggantikan kediaman di Likas yang kecil dan sempit.

“Kami berharap dengan adanya ruang kerja baru, permohonan untuk mendapatkan bantuan TEKUN selepas ini akan menjadi mudah kerana impian saya sangat besar untuk membantu ramai orang.

“Saya ingin berkongsi pengalaman dan ilmu yang saya ada untuk membantu dan mengambil ibu-ibu tunggal ataupun mereka yang tidak berkemampuan untuk memasuki kelas membuat roti untuk datang ke premis saya itu nanti,”jelasnya.

Tambahnya, sebagai peniaga perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan perlu dilengkapi ilmu kerana perniagaan roti ini perlukan kesabaran yang tinggi untuk bertahan.

Mariam hanya menjual produk rotinya terus kepada peniaga tanpa perlu melalui orang tengah untuk menjaga harga pasaran dan membantu peniaga bumiputera.

“Dengan harga RM2.50 untuk empat biji bun, saya cuba sedaya upaya untuk membantu para peniaga dan menjual terus kepada mereka supaya keuntungan mereka boleh ditingkatkan dengan kos yang rendah,”katanya.

Dalam pada itu, Pengarah PKK, Zainab Othman mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Hari Terbuka Politeknik KK yang bermula ahad hingga 12 Ogos ini.

Menurutnya, pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang tujuh hari program tersebut dijalankan seperti Pertandingan Sabah Voice dengan penampilan istimewa kumpulan Atmosfera, Street Soccer, Horse Riding, Raja Busking, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Robotic Exhibition dan banyak lagi.

“Kami juga menyediakan gerai-gerai jualan dimana kita menggalakkan pelajar-pelajar PKK untuk terlibat sama berniaga untuk melahirkan pelajar yang holistik dan berciri keusahawanan,”katanya.

Tambahnya, Sempena Istiadat Konvokesyen PKK yang ke-21 pada selasa, PKK juga akan mengadakan Karnival Kerjaya Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Ogos ini.

Sebanyak 650 peluang pekerjaan yang ditawarkan dari 10 syarikat akan membuat temuduga pada hari tersebut serta 50 buah pameran daripada pelbagai agensi.

“Dengan itu, kami menggalakkan mereka yang berminat untuk mencari pekerjaan agar datang dengan pakaian yang sesuai bersama resume dan segala yang diperlukan untuk membantu temuduga itu nanti,”ujar Zainab.

Tambah istimewa,Istiadat Konvokesyen itu juga akan dihadiri oleh Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar bin Datuk Mahiruddin bersama Toh Puan Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni yang akan menyampaikan penganugerahan kepada sebahagian daripada 611 graduan./PENERANGAN

Mariam menyusun roti-roti yang baru dikeluarkan dari ketuhar.

Komen


Berita Berkaitan