Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

BULAN PENGAMPUNAN-DBKK

DBKK bulan pengampunan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mensasarkan untuk mengutip lebih kurang RM10 juta daripada RM58 juta nilai kompaun tertunggak bayaran tempat letak kereta dalam tempoh bulan pengampunan.
Mayor Bandaraya Datuk Abidin Madingkir berkata dari tahun 2003 hingga Jun tahun ini, DBKK mengeluarkan sebanyak 608,809 keping kompaun terhadap pemilik kenderaan yang melanggar Undang-Undang Kecil Tempat Letak Kereta.
Katanya, daripada jumlah itu hanya 264,085 keping kompaun telah dijelaskan. Jumlah tunggakan kompaun yang masih belum dijelaskan dalam tempoh itu ialah 344,724 keping melibatkan nilai lebih kurang RM58 juta.
“Dalam bulan pengampunan ini, kadar tawaran kompaun yang dikenakan hanya RM30 sekeping bagi setiap kesalahan dan sekiranya dibayar kesemuanya, DBKK sepatutnya menerima bayaran lebih kurang RM10 juta daripada RM58 juta.
“Saya berharap dalam tempoh Bulan Pengampunan ini, tunggakan kompaun dapat dikurangkan dan seterusnya, kita dapat mengurus tempat letak kereta di Bandaraya Kota Kinabalu dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bulan Pengampunan Bagi Kesalahan-Kesalahan Tempat Letak Kereta, di perkarangan bangunan DBKK, di sini, kelmarin.
Turut hadir Ketua Pengarah DBKK Datuk Yeo Boon Hai, Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBKK Joannes Solidau, Timbalan Ketua Pengarah Korporat DBKK Bahari Hassan dan Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKK Abdul Mukti Muchlish.
Abidin berkata, bulan pengampunan akan diadakan selama dua bulan iaitu bermula hari ini sehingga 3 Oktober ini, sempena sambutan Hari Kemerdekaan serta Hari Malaysia peringkat negeri Sabah.
“Sebanyak lima kaunter akan dibuka sepanjang Bulan Pengampunan iaitu di Kaunter Utama Ibu Pejabat DBKK, Kaunter Damai, Kaunter Centre Point, Kaunter UTC Tingkat 6 dan Kaunter DBKK Holdings Tingkat 1 di KK Plaza.
“Kaunter Utama DBKK dibuka dari Isnin hingga Jumaat ( jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang), Kaunter Damai  dan Kaunter Centre Point dari jam 8 pagi hingga 3.30 petang (Isnin hingga Jumaat), Kaunter UTC dari jam 8 pagi hingga 9 malam (Isnin hingga Ahad) kecuali cuti am dan Kaunter DBKK Holdings dari jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat),” katanya.
Beliau berkata bayaran RM30 bagi setiap kompaun tertunggak yang dikeluarkan dari tahun 2003 hingga 2014, tidak termasuk kes-kes yang telah difailkan di Mahkamah Bandaraya serta kompaun-kompaun khas yang berkuatkuasa 17 Mac 2014 yang dikeluarkan ke atas lori, treler, kenderaan berat, teksi, bas mini, bas persiaran dan motosikal yang didapati melanggar Undang-Undang Kecil Bandaraya.
“Kadar minimum kompaun yang ditawarkan bagi kompaun-kompaun khas ini adalah mengikut kadar kompaun yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis iaitu RM300,” katanya.
Abidin berkata, DBKK menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugas terutamanya berkaitan dengan perkhidmatan kepada pembayar cukai, antaranya memastikan keteraturan dan kelancaran aliran trafik, rungutan dan aduan orang awam apabila kompaun dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan yang melanggar Undang-Undang Kecil Bandaraya.
Katanya, sejak tahun 2003, tawaran kompaun asal yang dikeluarkan adalah RM30 dan apabila Notis Peringatan dikeluarkan, jumlah tersebut meningkat RM170.
“DBKK menerima banyak aduan tentang kadar tawaran kompaun tersebut menjadi mahal. Oleh itu kami mengadakan Bulan Pengampunan untuk menggalakkan orang ramai menjelaskan kompaun kesalahan letak kereta mereka.
“Saya berharap orang ramai merebut peluang untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka. Selain itu Bulan Pengampunan ini juga bertujuan memberi peluang kepada pemilik kenderaan yang telah bertukar alamat dan menyebabkan Notis Peringatan tidak dapat diserahkan, untuk membayar kompaun tertunggak mereka,” katanya.
Orang ramai boleh membuat semakan atas talian melalui http://ecompaund.dbkk.sabah.gov.my atau laman sesawang rasmi DBKK www.dbkk.sabah.gov.my

Komen


Berita Berkaitan