Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

`Buku ilustrasi kahwin sejenis’, terbitan pihak swasta: Jame Alip

Jame Alip (dua dari kanan) menyampaikan surat perlantikan kepada salah seorang guru. - foto Monica Gidong
Jame Alip (dua dari kanan) menyampaikan surat perlantikan kepada salah seorang guru. – foto Monica Gidong

KOTA KINABALU – Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mencadangkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menapis dan menilai terlebih dahulu buku-buku kerja yang diterbitkan oleh pihak swasta bagi mengelak percanggahan kandungan dan ilustrasinya.

Pengarah JPNS Datuk Jame Alip menegaskan, pihaknya mencadangkan kepada KPM agar semua buku kerja atau apa juga jenis buku yang terbitkan oleh penerbit swasta menggunakan kokurikulum kementerian, ditapis dan dinilai terlebih dahulu oleh KPM terutama bahagian Buku Teks.

Menurutnya, semua penerbit yang hendak menjual buku-buku kerja atau apa sahaja jenis buku berkaitan pendidikan perlu menghantar buku itu ke kementerian bahagian buku teks untuk dinilai dan ditapis dahulu ilustrasinya, agar tidak bercanggah dengan kokurikulum Jabatan Pendidikan.

“Jangan sampai bercanggah dengan kokurikulum jabatan pendidikan dan gambar itu bercanggah dengan nilai-nilai murni kita di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Penempatan Pemangkuan Kenaikan Pangkat dan Penyerahan Surat Perlantikan bagi SISC+ dan SIPartners+ JPNS, di Wisma Pendidikan, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas isu berkaitan ilustrasi dalam buku kerja murid sekolah rendah bertajuk “Keluarga Harmoni” yang tersebar luas di laman sosial Facebook.

Jame berkata, buku kerja yang tersebar luas di laman sosial itu bukan Buku Kerja Buku Teks KPM, sebaliknya ia diterbitkan oleh penerbit swasta dan dijual di pasaran terbuka.

Oleh yang demikian, beliau meminta semua guru besar di seluruh Sabah melaporkan kepada JPNS sekiranya terdapat wakil penjual yang menjual buku itu di sekolah mereka.

“Gambar keluarga harmoni yang ditunjukkan dalam buku kerja untuk murid-murid sekolah rendah itu menunjukkan lelaki dan lelaki boleh berkahwin. Ilustrasi itu melanggar tatasusila kita dan juga mengelirukan murid-murid sekolah rendah,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat memantau perkara ini dan tidak membenarkan penerbit buku bebas menjual buku di pasaran dan sekolah tanpa menilai kandungan dan ilustrasi dalam buku terbitan pihak swasta.

Katanya, guru telah memberikan sumbangan amat bermakna kepada kemajuan dan pembangunan negara masa kini, justeru kerajaan sentiasa peka dan prihatin dalam memartbatkan profesion keguruan agar mereka menikmati faedah serta kemudahan yang lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya. – Monica Gigong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan