Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,708

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bukan Tugas Mudah Banteras Insiden Penculikan 100 Peratus – Pengarah SASSREC UMS

7:57pm 03/04/2016 Pak Roshan 394 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

esscom

KOTA KINABALU : Usaha untuk menghapuskan seratus peratus aktiviti penculikan serta jenayah rentas sempadan lain di kawasan perairan Sulu Zone (Laut Sulu), termasuk di kawasan perairan Malaysia, bukan tugas mudah, kata Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan (SASSREC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman.

Katanya ini adalah kerana aktiviti penculikan dan jenayah di kawasan perairan berkenaan bukan perkara baharu sebaliknya telah berlaku sejak kerajaan Kesultanan Sulu dan empayar Brunei lagi memandangkan kawasan itu merupakan antara laluan perdagangan utama antara timur dan Eropah.

“Dari segi sejarah, di kawasan yang dinamakan ‘Sulu Zone’, penculikan bukanlah perkara yang baharu. Ia semacam satu ‘perdagangan’ pada era Kesultanan Sulu dan empayar Brunei kerana Sulu Zone ini ialah wilayah perdagangan yang menemukan pedagang-pedagang dari China, Eropah dan sebagainya.

“Kalau kita lihat, kita sebenarnya berhadapan dengan perubahan tingkah laku para penculik ini. Mereka juga berkembang seiring dengan kemajuan teknologi, seiring dengan respons yang diambil pihak berkuasa. Apabila pihak berkuasa perketat penguatkuasaan, mereka juga mengambil langkah untuk mengatasi kawalan itu,” katanya kepada Bernama.

Dr Zaini berkata demikian sebagai mengulas insiden penculikan empat rakyat Malaysia di kawasan perairan Pulau Ligitan, kira-kira jam 6.15 petang, Jumaat lalu.

Justeru, kata Dr Zaini apapun langkah yang diambil pihak keselamatan, ia tidak akan berupaya mengatasi aktiviti penculikan serta jenayah rentas sempadan yang lain seratus peratus sebaliknya hanya akan meminimumkan aktiviti penculikan itu.

Sebagai contoh, katanya, penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah menampakkan kesan positif dalam mengekang aktivtii penculikan di kawasan perairan pantai timur Sabah.

Bagaimanapun, katanya, pihak agensi keselamatan tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ESSCom berkenaan sebaliknya perlu terus memperkemaskan kaedah-kaedah yang perlu diambil bagi memastikan aktiviti penculikan berkenaan dapat dikurangkan.

“Kita berhadapan dengan satu keadaan di mana kumpulan yang melakukan penculikan telah mengubah modus operadi mereka seiring dengan kemajuan ilmu dan teknologi. Jadi di sini, kita ambil dimensi memperkemaskan kaedah-kaedah kita dari semasa ke semasa supaya kita dapat mengurangkan avtiviti penculikan ini,” katanya.

Mengenai pandangan sesetengah pihak supaya hubungan dagangan tukar barang dengan wilayah selatan Filipina dihapuskan, Dr Zaini berkata kajian menyeluruh aspek positif dan negatif hubungan dagangan tradisional itu perlu dilakukan agar keputusan yang diambil kelak tidak memberi implikasi negatif kepada mana-mana pihak.

Mengenai penculik yang cuma menculik warga Malaysia dan membebaskan warga Indonesia dan Myanmar, Dr Zaini berkata itu tidak bermakna penculik itu menyasarkan rakyat Malaysia sahaja sebaliknya ia cuma teknik penculik untuk memudahkan mereka berurusan selepas berjaya menculik mangsa.

“Saya rasa penculik bukan memilih (warganegara). Cuma disebabkan oleh kedekatan kita dengan negara Filipina. Jadi kalau dia nak culik, dia akan culik mangsa yang senang nak berhubung dari segi pengurusan. Sudah tentu mereka memilih mangsa culik yang boleh menyenangkan mereka untuk menuntut tebusan selepas penculikan itu. Ini adalah taktik mereka,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan