Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,800

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

“Bukan Sengaja Tak Tepati Janji” – Rayani Air

10:32am 22/03/2016 Pak Roshan 42 views Mutakhir,Nasional

RAYANI

PETALING JAYA – Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air menegaskan pihaknya bukan sengaja membatalkan atau menyebabkan kelewatan penerbangan tetapi terpaksa melakukannya disebabkan masalah teknikal yang tidak dijangka.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya, Anisah Azharuddin berkata, situasi tambah rumit kerana Rayani Air hanya beroperasi dengan dua pesawat sahaja ketika ini.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan syarikat itu sedang menambah baik operasi bukan sahaja dari segi syariah, tetapi juga jadual penerbangan.

“Setiap pembatalan dan kelewatan adalah disebabkan masalah teknikal yang tidak dijangka. Kami bukan sengaja tidak tepati janji dengan membatalkan atau menyebabkan kelewatan penerbangan.

“Insiden yang berlaku di luar jangkaan. Setiap keputusan dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan, aspek terpenting sebelum menerbangkan pesawat,” katanya kepada mStar Online sambil menambah keselamatan penumpang menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu.

Beliau mengulas mengenai rungutan pengguna mengenai prestasi Rayani Air sejak kebelakangan ini sehingga mendapat perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.Asyraf Wajdi menerusi posting di laman Facebook pada Sabtu malam menegur Rayani Air supaya memahami dan mengaplikasikan prinsip syariah yang sebenar kerana tidak menunaikan janji dan menepati masa.

Mengenai prinsip syariah, Anisah berkata, Rayani Air kini dalam usaha untuk memperkukuhkan model perniagaan itu.

“Pada masa ini, kita mempunyai tiga prinsip asas iaitu kru berhijab dan menutup aurat untuk yang beragama Islam atau berpakaian sopan bagi bukan Islam, tiada minuman beralkohol dan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan,” katanya.

Pada masa sama, kata Anisah, setiap pendapat dan teguran daripada semua pihak diterima secara positif.

“Rayani Air merupakan syarikat penerbangan yang baru beroperasi Dan berusaha memperbaiki kesilapan.

“Pada masa sama, kami juga berterima kasih kepada penumpang yang bersabar dan memilih Rayani Air,” katanya.

Mengenai insiden pembatalan penerbangan, Anisah memberitahu ada sebahagian penumpang menerima kemudahan makan minum dan penginapan, selain membuat tuntutan bayaran.

Menerusi komennya, Asyraf Wajdi berkata, aspek pematuhan syariah bukan sekadar berbangga dengan memperagakan pakaian kru yang menutup aurat tetapi termasuk aspek menunaikan janji dan menepati masa.

Tegas Asyraf Wajdi, Rayani Air perlu menitikberatkan prinsip dan nilai syariah yang sebenar mengikut pandangan Islam.

“Kalau prinsip perkhidmatan yang asas seperti ini tidak dapat dipatuhi, usah mendabik dada mendakwa kononnya penerbangan pertama patuh syariah, katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Isnin malam berkata, kementeriannya boleh menggantung Rayani Air jika aduan terus dibuat terhadapnya.

Tambah Tiong Lai, kementerian telah mengeluarkan amaran kepada syarikat penerbangan patuh syariah itu berikutan insiden di mana penerbangan dibatalkan tanpa amaran dan tiada penggantian disediakan. – mStar Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan