Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Bukan angkara IS

8:57am 02/11/2015 Pak Roshan 170 views Global
SISA pesawat Russia yang terhempas di Sinai, Mesir.

SISA pesawat Russia yang terhempas di Sinai, Mesir.

Kaherah: Penyiasat antarabangsa semalam memulakan siasatan nahas pesawat Russia yang menyebabkan 224 orang terbunuh di kawasan pergunungan Semenanjung Sinai, Mesir, kelmarin.

Di Russia, bendera dikibarkan separuh tiang di bangunan kerajaan sementara program hiburan di televisyen dibatalkan sebagai sebahagian daripada perkabungan peringkat kebangsaan bagi memperingati mangsa, kebanyakannya warga Russia berusia 10 bulan hingga 77 tahun.

Dalam pada itu, Kaherah dan Mesir menolak dakwaan kumpulan militan yang ada hubungan dengan Negara Islam (IS) kononnya ia menembak jatuh pesawat Airbus itu yang dalam penerbangan dari Sharm el-Sheikh ke St Petersburg.

Perdana Menteri Mesir Sharif Ismail berkata, pakar mengesahkan militan tidak berkemampuan untuk menembak jatuh pesawat Air bus 321 yang berada di ketinggian 9,000 meter.

Menteri Pengangkutan Russia Maxim Sokolov pula berkata, dakwaan kumpulan militan itu tidak boleh dianggap tepat.

Kotak hitam yang merakam data penerbangan sudah ditemui dan dihantar untuk dianalisis. Sokolob dan Menteri Darurat Vladimir Puchkov kini berada di Kaherah bersama-sama sepasukan pakar untuk membantu pasukan penyiasat Mesir.

Dua penyiasat kemalangan udara dari Perancis, tempat Airbus dikeluarkan, juga tiba di Kaherah bersama enam pakar angkasa lepas untuk membantu siasatan.

Syarikat Penerbangan Lufthansa dari Jerman, Emirates dari Dubai dan Air France dari Perancis berkata, mereka menghentikan penerbangan merentasi ruang udara Sinai sehingga alasan kemalangan itu diketahui.

Dalam kemalangan kelmarin, pesawat membawa 214 warga Russia, tiga rakyat Ukraine dan tujuh kakitangan terputus hubungan selepas 23 minit berlepas dari pusat peranginan Laut Merah Sharm el-Sheikh.

Serpihan dan mayat bertaburan di kawasan seluas enam hingga lapan kilometer persegi di selatan bandar El-Arish.

Sekutu IS yang melancarkan pemberontakan di Sinai mendakwa ia menembak jatuh pesawat itu sebagai membalas dendam terhadap serangan udara Russia ke atas IS di Syria.

Bagaimanapun, pakar menolak dakwaan itu dengan berkata, kumpulan itu tidak mempunyai kelengkapan atau kepakaran untuk menembak pesawat sewa khas itu yang menurut pegawai Mesir berada kira-kira 9,000 meter di ruang angkasa apabila hubungan terputus.

“Untuk menembak jatuh pesawat yang berada pada ketinggian itu, kamu perlu memiliki misil. Ia juga memerlukan kelengkapan yang baik dan orang yang terlatih. Saya tidak fikir IS memilikinya,” kata pengarah agensi siasatan penerbangan Perancis Jean-Paul Troadec.

Mereka percaya, kemalangan itu mungkin berpunca daripada kesilapan teknikal atau manusia.- Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan